GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyalurkan bantuan bayaran sara hidup sebanyak RM500 secara sekali bayar kepada seramai 5,262 pesawah di negeri itu dalam masa terdekat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban yang dihadapi para pesawah di negeri ini.
”Pemberian bantuan ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM2.63 juta dan akan dimasukkan terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian negeri dijangka pada bulan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, keluasan tanaman padi di negeri ini ialah seluas 12,105.59 hektar dengan bilangan pesawah seramai 5,262 orang.
”Walaupun keluasan tanaman padi tidak luas seperti negeri lain, namun data perangkaan pengeluaran padi negara tahun 2020 menunjukkan hasil purata padi di negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 4.831 matrik tan sehektar.
”Ini melepasi purata untuk negara iaitu 4.039 matrik tan sehektar, bagi purata hasil luar musim 2020, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 5.595 matriks tan sehektar.
”Ia menunjukkan peningkatan hasil padi di negeri adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan pengeluaran padi di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, Pulau Pinang telah menunjukkan pencapaian ketiga tertinggi bagi tahun 2020 dan menyumbang kepada 61.4 peratus keperluan sara diri di Pulau Pinang.
”Namun pelbagai cabaran dan halangan terpaksa dihadapi oleh para pesawah dalam pengeluaran beras untuk keperluan negeri dan negara.
”Antaranya adalah ketidaktentuan cuaca serta peningkatan bahan input seperti baja kimia dan agrokimia untuk tanaman, malah faktor pandemik Covid-19 dan peperangan antara Russia dan Ukraine turut menjadi penyumbang utama kepada perkara ini,” katanya.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap pemberian itu dapat memberi rangsangan kepada pesawah untuk mengekalkan Pulau Pinang dalam senarai teratas pengeluar padi di Malaysia.-UTUSAN