Kalau kita tonton drama-drama di kaca televisyen (TV), pasti ada satu babak wajib iaitu bersarapan di meja makan.
Menunya tak lain tak bukan roti bakar, pankek, buah potong dan jus oren segar.
Ketika itu, si bapa yang bergelar datuk duduk di hujung meja dan mula bertanya pelbagai soalan kepada anak-anak.
Tetapi seperti yang sering kita lihat, sesi makan itu biasanya berakhir dengan perbalahan dan salah seorang anak bangkit meninggalkan meja, tanpa sempat menjamah roti bakar di pinggan.
Babak sebegitu sudah menjadi klise. Namun ia membuka satu perbincangan penting, sejauh mana budaya makan bersama masih wujud dalam keluarga kita hari ini?
Dalam kesibukan harian, amalan makan bersama keluarga kini semakin terhakis.
Anak-anak makan sendiri di depan skrin, ibu bapa pula makan di tempat kerja dan hari demi hari meja makan sekadar menjadi perabot hiasan semata-mata.
Sedangkan, makan bersama bukan sekadar aktiviti rutin, ia adalah jambatan yang menyatukan hubungan kekeluargaan.
Saat duduk bersama menjamu selera, kita membuka ruang untuk berbual, berkongsi cerita dan memahami isi hati satu sama lain.
Perkara ini amat berharga, apatah lagi dalam dunia hari ini yang penuh dengan gangguan emosi dan tekanan.
Kajian menunjukkan keluarga yang meluangkan masa untuk makan bersama cenderung lebih rapat, terbuka dan sihat bukan sahaja dari segi fizikal tetapi mental.
Anak-anak pula selesa dan seronok berkomunikasi dengan ibu bapa, manakala ibu bapa pula berpeluang untuk mengesan perubahan tingkah laku anak-anak lebih awal.
Malah, makan bersama juga mengajar nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Anak belajar tentang adab sopan, hormat kepada orang tua, tolong-menolong, menunggu giliran dan menikmati makanan dengan tertib.
Sayangnya, gaya hidup moden banyak menjarakkan kita daripada amalan ini.
Ada yang memberi alasan tiada masa, terlalu sibuk atau penat lalu makan sambil menonton TV atau leka menatal media sosial.
Tanpa kita sedari, jarak emosi semakin melebar walaupun berada di bawah satu bumbung.
Jika mahu hubungan keluarga yang kukuh, budaya makan bersama perlu dihidupkan semula. Tidak perlu mewah atau formal, cukuplah sekadar satu waktu sehari, walau sekejap.
Yang penting, semua hadir dengan hati terbuka dan gajet disorok buat seketika.
Sesekali, gantikan babak pergaduhan seperti dalam drama dengan perbualan yang hangat tetapi mesra.
Dalam momen yang ringkas itu, banyak luka boleh sembuh dan kasih boleh tumbuh. Makan bersama bukan soal kenyang perut, tetapi kenyang jiwa.
-Rosalinda Md. Said adalah wartawan Utusan Malaysia









