SHAH ALAM: Parti Bangsa Malaysia (PBM) meminta kerajaan supaya menetapkan satu tarikh bersesuaian bagi pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak lagi berteka-teki.
Presiden penggantinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penetapan tarikh itu penting dalam keadaan kemapanan dan politik negara yang bercelaru ketika ini.
Kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, dengan adanya tindakan tersebut, kerajaan boleh dirancang dan direncana dengan baik sekali gus tidak celaru sebegini.
“Adakah kita mahu terus dalam keadaan begini dan agenda PBM mahu membawa perubahan dengan ‘reset’ dan harus memperbetulkan yang betul. Sudah tiba masanya kita mengangkat agenda itu agar ada penetapan tarikh pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan Pertama PBM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Jelas Zuraida, pihaknya berpegang kepada prinsip mempertahankan terlebih dulu apa yang dimiliki parti itu pada PRU15.
“Kita pertahan dulu apa yang ada di tangan kita sekali pun akan membantu mana-mana gabungan yang mahu mencari jalan demi manfaat bersama,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, PBM menggariskan enam teras utama yang berupaya membawa Malaysia ke mercu lebih tinggi dan mengatasi keupayaan negara lain.
“Teras itu meliputi keharmonian antara semua kaum, pemerkasaan penglibatan wanita, kuasa anak muda dan pendidikan sama ada akademik atau kemahiran. Selain itu, kita memfokuskan agenda sains dan teknologi serta reset ekonomi negara,” jelasnya.
Tambah Zuraida, PBM akan melancarkan Doktrin Bangsa Malaysia iaitu garis panduan untuk diteladani setiap ahli parti bagi memastikan misi perjuangan membangunkan Malaysia tercapai.
“Bagi meningkatkan iltizam dan semangat sebagai parti masa depan, kita perlu mempunyai garis panduan yang perlu diikuti dalam usaha untuk menabur khidmat bakti terbaik kepada rakyat. Doktrin Bangsa Malaysia berupaya membentuk kita menjadi satu unit seragam terutama melibatkan penetapan agenda, iltizam dan semangat parti untuk diaplikasikan dalam gerak kerja politik atau khidmat masyarakat,” katanya. – UTUSAN