PRU15: Pulau Pinang akur keputusan tidak bubar DUN

PRU15: Pulau Pinang akur keputusan tidak bubar DUN

CHOW Kon Yeow ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan di Pusat Jagaan Suria, di Sungai Ara, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akur dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang walaupun pimpinan DAP negeri itu mahu pilihan raya berjalan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, DAP Pulau Pinang dan DAP Pusat telah cuba sedaya upaya menyakinkan pucuk pimpinan PH yang mana Pulau Pinang sepatutnya boleh mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara serentak.

“Kita terima keputusan ini, atas pertimbangan Majlis Presiden PH mereka bukan tidak setuju PRN tetapi kalau diadakan, sepatutnya di semua negeri PH (serentak).

“Oleh kerana tidak dapat mencapai keputusan ini maka diputuskan ketiga-tiga negeri di bawah PH ambil tindakan selari, kalau bubar sama-sama bubar, kalau tidak semua tidak (bubar DUN),” katanya ketika ditemui di Pusat Jagaan Suria, di sini hari ini.

Majlis Presiden PH hari ini sebulat suara menangguhkan pembubaran DUN Pulau Pinang yang mana Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DUN Pulau Pinang hanya dibubarkan pada tahun depan yang disifatkan lebih kondusif selepas banjir yang diramalkan berlaku November dan Disember ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, keputusan tidak membubarkan DUN juga membolehkan jentera-jentera parti PH memberi fokus kepada pilihan raya Parlimen bagi memastikan PH menang sebanyak mungkin kerusi.

“Pulau Pinang masih ada 13 kerusi Parlimen dan kita harap pengundi faham serta teruskan memberi sokongan kepada PH kerana kita tidak mahu UMNO menang dengan mudah.

“Kita harap rakyat faham ini adalah keputusan asal yang dibuat oleh PH dan ia sebenarnya adalah proses rayuan, jadi ini adalah keputusan rayuan yang perlu kita terima.

“Kita faham ramai yang kecewa termasuk media kerana terpaksa buat kerja dua kali, namun keputusan ini adalah satu proses demokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau kecewa dengan keputusan Majlis Presiden PH itu Kon Yeow berkata, keputusan tersebut adalah satu proses yang mana perbincangan telah dibuat secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.