PETALING JAYA: Harga tambang tiket pesawat sehala beberapa syarikat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara purata bermula serendah RM335, dan mencecah RM477 bagi kelas ekonomi yang terdiri daripada tiga syarikat penerbangan utama iaitu Air Asia, Malaysia Airlines serta Malindo Air.
Tinjauan ini dibuat pada 24 Oktober, melalui portal syarikat penerbangan Air Asia.
Tarikh penerbangan berlepas yang diisi dalam carian portal tersebut adalah pada 18 November bagi perjalanan pergi dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah.
Bagi tiket dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pula, harga purata tiket bermula serendah RM235 sehingga RM375 bagi kelas ekonomi, bagi tarikh perjalanan 20 November, 2022.
Sementara itu, tinjauan melalui portal sama mendapati, kos penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak bertarikh 18 November pula bermula RM295 sehingga RM444, sementara harga tiket pesawat dari Kuching, Sarawak ke Kuala Lumpur bertarikh 20 November, berharga di antara RM175 sehingga RM370.
Sebagai perbandingan, bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu bertarikh 4 November, harga tiket bermula dari RM235 sehingga RM265 bagi syarikat Air Asia, sementara Malaysia Airlines (MAS) bermula serendah RM273 manakala harga tiket Malindo Air bermula serendah RM324.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menetapkan penamaan calon pada 5 November, pengundian awal (15 November) dan 19 November hari mengundi PRU15.
Sejak Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan harga tiket penerbangan ‘tidak masuk akal’ ketika perayaan Aidilfitri, malah pada September syarikat penerbangan didakwa sekali lagi menaikkan harga ketika orang ramai merancang perjalanan sempena cuti persekolahan.
Ekoran harga tambang mencecah hampir RM3,000, ada yang terpaksa membatalkan rancangan perjalanan kerana kos tersebut.
Mengulas perkara itu, penyandang kerusi Parlimen Santubong, Sarawak yang juga Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, isu kenaikan harga tiket penerbangan khususnya ke Sarawak memang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak, khususnya dari kategori B40.
Namun katanya, kenaikan itu bukan berpunca daripada pihak syarikat penerbangan, sebaliknya keputusan tersebut ditentukan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
“Dengan harga-harga yang tidak berpatutan langsung khususnya selepas Covid-19, kalau (syarikat-syarikat penerbangan) mahu memulihkan kewangan, bukan begitu caranya. Kita ada membuat aduan berhubung dengan sebuah syarikat penerbangan dan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Tapi akhirnya kita difahamkan, bukan syarikat itu yang punya pasal, bukan mereka yang menaikkan harga tambang ini. Sebaliknya yang menaikkan harga ini adalah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia. Itu yang menaikkan dan menentukan harga tambang,” katanya sewaktu dihubungi, semalam.
Menjelaskan lanjut, Wan Junaidi berkata, kementerian bertanggungjawab seharusnya meneliti perkara ini secara mendalam.
“Apabila kita cakap macam itu, di manakah letaknya kedudukan kementerian yang bertanggungjawab dalam soal penerbangan ini? Kementerian tidak tengokkah?
“Yang sebenarnya, syarikat penerbangan yang membuat penerbangan pulang balik dari Kuching pergi ke Kota Kinabalu dan sebagainya, itu adalah sebahagian daripada obligasi sosial kerajaan. Jadi obligasi sosial kerajaan untuk memberikan satu mod pengangkutan untuk rakyat Sabah, Sarawak ke semenanjung,” katanya. – UTUSAN










