PRU15 dipersetujui secara bersama - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

PRU15 dipersetujui secara bersama – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob berucap pada Perhimpunan Khas bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun ini dipersetujui secara bersama oleh semua pucuk pimpinan dan akar umbi UMNO, bukannya kehendak sesetengah pihak sahaja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, beliau juga tidak meletakkan sebarang syarat kepada partinya sebelum membubarkan Parlimen.

Sebaliknya beliau bersetuju untuk mengadakan PRU15 pada tahun ini berdasarkan pendirian parti dan wujudnya asas-asas untuk mempercepatkan pilihan raya.

“Dari segi UMNO, kita ada Top 5, kita ada Biro Politik, tak ada siapa yang memberikan sebarang syarat. Kalau kita nak buat PRU dan ada asasnya yang kuat untuk dipercepatkan, kita setuju secara bersama dan kita buat.

“Cuma tarikh itu tunggu pengumuman. Tunggulah, kalau dari tahun lepas dah tunggu, tahun ini pun boleh tunggu lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di ibu negara hari ini.

Jelasnya, pendirian UMNO yang mahu mempercepatkan PRU15 bukanlah perkara baharu kerana ia sudah digesa beberapa tahun sebelum ini.

“Daripada dulu kita dah bercakap perlu percepatkan pilihan raya. Semalam pun dah kata kita nak kembalikan kepada rakyat mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk memberi mandat semula dan sebagainya, jadi biar rakyat menentukan,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan pada tahun ini juga.

Katanya, susulan keputusan itu, Ismail Sabri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut mengarahkan semua jentera parti di setiap peringkat memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU15.

“UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperoleh, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya.

Pembubaran Parlimen dijangka diumumkan ketika sesi sidang Dewan Rakyat berlangsung bermula minggu hadapan.

Bajet 2023 yang dijangka menjadi bajet pilihan raya akan dibentangkan pada 7 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya