PRU15: DAP sasar tambah kerusi Parlimen, DUN di Perak 

PRU15: DAP sasar tambah kerusi Parlimen, DUN di Perak 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: DAP menyasarkan pertambahan bilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak untuk ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tanpa menyebut jumlah pertambahan tersebut, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu menyasarkan kerusi-kerusi baharu untuk ditandingi di kawasan yang pengundinya majoriti Melayu.

Menurutnya, jumlah pertambahan kerusi yang akan ditandingi DAP itu akan umumkan selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Perkara ini kita telah rundingkan, memang ada pertambahan kerusi untuk DAP di negeri ini cuma kerusi mana dan jumlahnya, itu kita biarkan dahulu untuk diumumkan secara bersama, kita tidak mahu membuat pengumuman secara persendirian.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa pengumuman secara persendirian, kita menghormati proses perundingan kerusi, bahawa apa kerusi yang ditandingi itu akan diumumkan secara bersama oleh semua pimpinan PH, cukup sekadar saya katakan kita akan bertanding kerusi tambahan di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Perak di sini hari ini.

Anthony Loke berkata, kebanyakan kerusi baharu yang akan ditandingi parti itu adalah kawasan pengundi majoriti Melayu.

Menurutnya, di Perak DAP mempunyai tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14.

“Keseluruhannya di Perak ada 24 kerusi Parlimen, 24 kerusi ini ada potensi kita boleh menang. Penyandangnya yang terdiri daripada ahli parlimen PH ada 13 kerusi yang kita menang pada PRU14, termasuk Parlimen Tambun.

“Jadi kerusi-kerusi yang belum dimenangi oleh PH ini terbuka untuk dirundingkan terutama yang ditandingi oleh Bersatu sebelum ini. 

“Untuk peringkat DUN Perak juga kita berhasrat ada pertambahan tetapi perkara itu masih dalam perundingan lagi,” katanya.

Pada PRU-14, DAP Perak menang di semua kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu Ipoh Timor, Ipoh Barat, Kampar, Batu Gajah, Teluk Intan, Beruas dan Taiping.

DAP juga menang kesemua 18 kerusi DUN yang ditandinginya di Perak pada PRU14, namun tiga wakil rakyatnya mengumumkan keluar parti iaitu DUN Tronoh (Paul Yong Choo Keong), Buntong (A.Sivasubramaniam) dan Malim Nawar (Leong Cheok Keng). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya