PETALING JAYA: Lebih 50 petugas media menyertai Program Menembak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Briged Tengah PGA, Cheras, dekat sini, hari ini.
Program itu dianjurkan bagi mengukuhkan hubungan suruhanjaya tersebut bersama media selepas tertangguh beberapa tahun disebabkan pandemik Covid-19.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamaruddin M. Ripin berkata, pihaknya begitu menghargai kerjasama setiap petugas media dalam membantu agensi penguatkuasaan itu dalam pencegahan rasuah.
“SPRM sentiasa komited untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pihak media dalam aktiviti-aktiviti pencegahan rasuah dan kita mengatur pelbagai program untuk memastikan kesedaran mengenai amalan salah laku rasuah disebarkan dalam masyarakat
“Justeru, usaha pengamal media tempatan dalam mendidik dan menyebar luas mesej serta pendedahan antirasuah melalui laporan berita kepada masyarakat terus dihargai,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Program Menembak SPRM antara Media dekat sini.
Tambahnya, pelbagai program akan diatur oleh SPRM bersama pengamal media tempatan untuk memastikan aspirasi pencegahan rasuah dicapai sehingga ke pelusuk genap masyarakat.
Ujarnya, ini termasuk Majlis Anugerah Media SPRM yang menobatkan karya-karya penulisan terbaik yang dilihat berjaya membantu suruhanjaya itu dalam memerangi rasuah. – UTUSAN










