Buang puntung rokok: Kakitangan MBSA bakal berdepan tindakan tatatertib - Utusan Malaysia

Buang puntung rokok: Kakitangan MBSA bakal berdepan tindakan tatatertib

NGA Kor Ming (tengah) bersama penerima watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Cina Negeri Perak 2026/2028 di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang tular membuang puntung rokok keluar dari kenderaan jabatan, bakal berdepan tindakan tatatertib selain dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan membuang sampah merata-rata, walaupun melibatkan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, sebagai anggota PBT, mereka seharusnya menjadi contoh serta tauladan yang baik kepada masyarakat dan bukan bersikap sebaliknya.

“Tidak kira siapa, jika individu itu merupakan kakitangan PBT dan didapati membuang puntung rokok serta ditangkap, bukan sahaja Perintah Khidmat Masyarakat akan dikenakan, malah tindakan disiplin juga wajib diambil.

“Siapa yang melakukannya, dialah yang perlu bertanggungjawab. Tangan yang mengotorkan, itulah juga yang wajib membersihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Cina Negeri Perak 2026/2028, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini lebih 3,000 individu telah ditahan atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam dan dikenakan PKM.

Katanya, individu yang ditahan itu melibatkan pelbagai latar belakang termasuk ibu hamil dan warga asing.

“Saya tegaskan sekali lagi, semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Tidak kira siapa anda, sama ada Tan Sri, Datuk Seri atau orang awam, undang-undang dilaksanakan secara adil dan saksama.

“Jika tidak mahu menyapu jalan selama 12 jam, jangan buang sampah merata-rata. Sampah ada tempatnya, iaitu di dalam tong sampah,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video seorang individu diilihat membuang puntung rokok dari sebuah kereta yang tertera logo dan perkataan MBSA ketika kenderaan itu berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Susulan penularan video berkenaan, MBSA dalam kenyataannya memaklumkan, telah merujuk kes membabitkan individu berkenaan kepada Bahagian Integriti MBSA untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN