Polis siasat konsert depan Masjid Zahir

Polis siasat konsert depan Masjid Zahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis akan menyiasat konsert berdekatan Masjid Zahir, disini Sabtu lalu sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat terutama yang beragama Islam. 

 Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya juga akan memanggil semua pihak yang terlibat termasuk penganjur konsert berkenaan.

“Permit untuk program ini adalah di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan saya dimaklumkan penganjur ada permit untuk buat program tetapi pengisian (konsert) itu terlebih dan tidak terkawal.

 “PBT bagi permit untuk busking, namun anak-anak muda ini terlompat-lompat bertindak di luar kawalan sehingga menyebabkan kekecohan dalam media sosial. Apa pun kita akan siasat termasuk memanggil penganjur,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

 Semalam, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menegaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada penganjur sebuah festival untuk mengadakan konsert di Balai Seni berhadapan dengan Masjid Zahir.

 Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad berkata, MBAS melahirkan rasa kesal dengan tindakan penganjur terlibat yang disifatkan melanggar peraturan selain menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat negeri ini.

 Terdahulu, tular dalam media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan pelbagai aksi tarian yang terkinja-kinja.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd. Firdaus Ahmad yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada pihak terlibat untuk mendapat penjelasan berhubung insiden itu yang dianggap mencemar nama baik kerajaan negeri.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar yang turut melahirkan rasa kesal. Pejabat saya akan hantar surat untuk panggil penganjur utama dan dengar penjelasan mereka. Kita akan buat siasatan termasuk di peringkat dalaman kerana penganjur bersama festival ini adalah Lembaga Muzium Negeri dan saya selaku pengerusinya. Kita kena tengok kenapa berlaku insiden ini,” katanya.

Mengulas lanjut ,katanya, kerajaan negeri tidak mendapat maklumat terperinci tentang pengisian festival berkenaan termasuk konsert yang diadakan itu.

 “Seperti kita tahu bila ada konsert muda-mudi yang ada nyanyian lagu khalayak (pengunjung) menari-nari di bawah. Kebenaran termasuk menyediakan tapak di Balai Seni itu adalah untuk festival usahawan muda mudi sahaja. Apa yang berlaku di konsert itu adalah diluar jangkaan,” katanya.

 Beliau berkata, ekoran insiden itu, kerajaan negeri juga membuat keputusan untuk mengetatkan semua permohonan program atau acara di negeri ini iaitu perlu mendapat kelulusan daripada Pejabat Exco berkaitan walaupun permohonan acara diluluskan PBT.

 “Apa yang ditegaskan oleh Menteri Besar, perkara seperti ini boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT walaupun kita tengok anak muda berseronok, kita akan elak perkara seperti ini berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.