Semua kementerian diarah selaraskan bantuan

Semua kementerian diarah selaraskan bantuan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua kementerian diarah menyelaras semula inisiatif masing-masing bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada sebarang bantuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa cadangan dan inisiatif penting diteliti bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekonomi negara sepanjang krisis bekalan global.

Beliau berkata, antara yang dibincangkan adalah cadangan pengurangan kadar sewa premis di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya tegaskan bahawa lebih banyak PBT di seluruh negara perlu melaksanakan inisiatif ini bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang terhimpit dengan peningkatan kos operasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pengurangan kadar sewa premis penjaja dan peniaga telah dimulakan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Katanya, pendekatan ihsan itu wajar dicontohi oleh PBT di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar.

“Mesyuarat turut meneliti pelbagai langkah strategik bagi mendepani ketidaktentuan global dan kesan kenaikan kos sara hidup, termasuk pembangunan Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global serta cadangan penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan harga.

“Mengambil kira impak krisis yang semakin memberi tekanan kepada harga barangan harian, saya telah mengarahkan setiap kementerian untuk menyelaras semula inisiatif, usaha dan bantuan supaya sampai kepada kumpulan sasaran serta memastikan tiada yang tercicir, khususnya golongan miskin dan rentan,” katanya.

Anwar berkata, MTEN akan terus memberi fokus utama kepada usaha menjamin kelangsungan bekalan serta melindungi rakyat, khususnya golongan rentan dan peniaga kecil agar mereka tidak terus terbeban akibat kejutan ekonomi global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN