PETALING JAYA: Polis merampas pelbagai jenis dadah seberat hampir 61 kilogram bernilai lebih RM190,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Sungai Baru, Kampung Baru, dekat sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira 6 petang itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang berada di rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellha Yahaya berkata, pihaknya merampas sebanyak 59 kilogram ganja, satu kilogram methamphetamine dan 450 gram heroin dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM190,200.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan pernah ditahan mengikut Seksyen 6(1) Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan morfin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- UTUSAN










