Polis Pulau Pinang siap sedia hadapi PRU15

Polis Pulau Pinang siap sedia hadapi PRU15

FISOL Salleh dalam sidang akhbar mengenai penutupan jalan di beberapa kawasan di Pulau Pinang bagi Jelajah Le Tour De Langkawi (LTDL) 2022 peringkat keenam di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang sentiasa dalam keadaan bersedia bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dengan lebih 3,000 anggota dan pegawai akan bertugas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri itu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, buat masa ini pihak polis masih menunggu pengumuman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perjalanan PRU15.

“Polis Pulau Pinang dalam keadaan siap sedia di seluruh negeri, kekuatan yang ada akan digunakan bagi penugasan PRU-15.

“Kita hanya menunggu pengumuman daripada SPR mengenai pilihan raya ini dan bersedia untuk bertugas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fisol berkata, beberapa laluan di kawasan pulau (daerah Timur Laut) serta di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) akan ditutup secara berperingkat bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi, 16 Oktober ini bagi Jelajah Le Tour De Langkawi (LTDL) 2022 peringkat keenam.

“Perlumbaan peringkat enam ini akan bermula di Padang Kota Lama dan melalui jalan-jalan seperti Jalan Padang Kota Lama, Lebuh Light, Jalan Pengkalan Weld, Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Jambatan Pulau Pinang.

“Kemudian, jelajah LTDL 2020 akan melalui daerah Seberang Perai Tengah dari KM 5.0 Jambatan Pulau Pinang ke Jalan Perusahaan Perai, Bulatan Perusahan Perai, Jalan Chain Ferry, Jambatan Tunku Abdul Rahman (sempadan SPU),” katanya.

Fisol berkata, antara kawasan yang terlibat dengan jelajah LTDL 2022 itu di daerah Seberang Perai Utara adalah Jambatan Tunku Abdul Rahman; Jalan Chain Ferry; Jalan New Ferry; Jalan Bagan Luar; Jalan Kampung Gajah dan Jalan Bagan Ajam.

Kawasan lain tambahnya, adalah Jalan Paku Lima; Jalan Teluk Air Tawar; Jalan Titi Mukim; Jalan Kedah; Jalan Bumbung Lima dan Jambatan Merdeka (sempadan SPU/ Kuala Muda Kedah).

Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai yang bercadang menggunakan jalan-jalan terlibat supaya merancang perjalanan dengan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mematuhi arahan pihak polis dan diharapkan mereka memberi kerjasama sepanjang laluan berkenaan ditutup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN