KOTA BHARU : Pegawai dan anggota polis negeri ini sudah menjalani latihan dalam perkhidmatan untuk kali kedua sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada masa sama latihan berbentuk simulasi serta seminar turut dilakukan bagi memastikan pegawai dan anggota terlibat berada dalam keadaan bersedia.
Menurutnya, untuk PRU15 seramai 5,000 anggota polis akan ditugaskan sepanjang tempoh itu supaya kelancaran dan keselamatan pengundi terjamin.
“Kita memang telah bersiap siaga walaupun ada beberapa perubahan berlaku oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk pertambahan tempat dan sebagainya itu tidak menjejaskan.
“Apapun perancangan telah dibuat jika berlaku pilihan raya serentak dengan bencana, kita telah bersedia. Kita doakan supaya tidak berlaku begitu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki memberitahu, pihakya sentiasa mengukuhkan hubungan pihak berkuasa Thailand dalam usaha membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan antara kedua-dua negara terutama penyeludupan.
Katanya, meskipun aktiviti jenayah rentas sempadan menunjukkan penurunan, namun hubungan yang lebih erat perlu dilaksanakan untuk pertukaran maklumat dan strategi bersama termasuk dari segi tindakan serta sistem.
“Setakat ini, pihak Thailand begitu bersungguh-sungguh untuk bersama dengan kita dan begitu juga dengan kita.
“Insya-Allah kita juga akan dapat menangani apa yang dihadapi oleh pihak Thailand dan begitu juga sebaliknya,” ujarnya. –UTUSAN










