Malaysia kukuh sebagai destinasi pelaburan stabil, mesra perniagaan - Utusan Malaysia

Malaysia kukuh sebagai destinasi pelaburan stabil, mesra perniagaan

FADILLAH Yusof (tengah) ketika sesi bergambar pada perasmian Forum Undang-Undang dan Perniagaan Malaysia-Jepun 2026 di Hotel St Regis Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang stabil, pragmatik dan mesra perniagaan di rantau ASEAN serta Indo-Pasifik bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi mampan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia mempunyai kelebihan strategik sebagai hab ekonomi serantau dengan ekonomi yang pelbagai, institusi yang kukuh, tenaga kerja berbilang budaya yang berdaya saing serta jaringan hubungan yang baik dengan pasaran serantau dan global.

Katanya, negara juga kekal komited untuk mengekalkan persekitaran perniagaan yang terbuka, boleh diramal dan berasaskan peraturan bagi menggalakkan inovasi serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Di bawah Kerajaan Madani, fokus kami jelas iaitu memperkukuh daya tahan ekonomi, meningkatkan tadbir urus, menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan, mempercepat transformasi digital dan memajukan agenda peralihan tenaga negara.

“Pada masa sama, kerajaan juga memastikan pertumbuhan yang dicapai kekal inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam ucaptama Forum Perundangan dan Perniagaan Malaysia–Jepun 2026 di Hotel St. Regis, di sini hari ini.

Turut diadakan Majlis Pelancaran Rasmi Kerjasama Strategik Perniagaan antara RDS Advocates & Solicitors (RDS) dan Anderson Mori & Tomotsune (AMT).

Sementara itu, Fadillah berkata, Malaysia melihat potensi yang sangat luas dalam tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, infrastruktur digital, pembuatan berteknologi tinggi, pusat data, logistik pintar, kecerdasan buatan (AI) dan kesalinghubungan rentas sempadan.

Menurutnya, sektor-sektor tersebut menawarkan ruang kerjasama yang luas dengan Jepun, khususnya dalam aspek kepakaran teknikal, inovasi dan pengalaman global yang dapat melengkapi kekuatan serta aspirasi Malaysia.

“Ketika Malaysia melangkah ke arah menjadi ekonomi bernilai tinggi dan dipacu inovasi, kerjasama dengan rakan antarabangsa yang dipercayai seperti Jepun akan terus menjadi sangat penting.

“Sejarah mengajar kita bahawa kemajuan tidak dicapai dengan mengundur diri daripada cabaran, sebaliknya dengan menghadapinya secara yakin, melalui kerjasama dan visi yang jelas.

“Hubungan Malaysia dan Jepun sentiasa mencerminkan semangat tersebut iaitu dibina atas dasar optimisme dan bukannya kebimbangan, kerjasama dan bukannya persaingan serta peluang bersama dan bukannya kepentingan sempit,” jelasnya.

Tambahnya, pelaburan yang berjaya pada masa kini memerlukan lebih daripada sekadar cita-cita komersial, tetapi juga memerlukan konsistensi dasar, kepastian peraturan dan institusi yang kukuh.

“Pada hari ini, peguam bukan lagi sekadar penasihat dalam urusan transaksi atau pertikaian. Mereka merupakan rakan strategik dalam memudah cara pelaburan, mengurus risiko, menavigasi kerangka peraturan dan memperkukuh kerjasama rentas sempadan.

“Kerjasama antara RDS dan AMT mencerminkan peranan yang semakin berkembang ini dengan begitu baik.

“Dengan menggabungkan pemahaman tempatan dan kepakaran antarabangsa, kerjasama ini mewujudkan kerangka perundangan yang lebih kukuh bagi menyokong pelaburan, memudah cara aktiviti komersial dan menyumbang kepada integrasi ekonomi yang lebih erat antara Malaysia dan Jepun,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN