TNG Digital umum wajah baharu TNG eWallet - Utusan Malaysia

TNG Digital umum wajah baharu TNG eWallet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital) mengumumkan rombakan reka bentuk aplikasi TNG eWallet bagi merefleksikan transformasinya sebagai platform digital harian yang merentasi perkhidmatan kewangan, gaya hidup dan pelancongan.

Langkah itu seiring dengan pencapaian terbaharunya yang menyaksikan segmen perniagaan bukan pembayaran kini menyumbang lebih separuh daripada jumlah keseluruhan hasil pendapatan syarikat buat pertama kali sejak penubuhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, aplikasi itu kini mempunyai lebih 26 juta pengguna yang disahkan, dengan 13.5 juta pengguna aktif bulanan yang menggunakan platform tersebut secara purata dua kali sehari.

“TNG eWallet bukan lagi sekadar aplikasi pembayaran biasa. Rakyat Malaysia kini menggunakannya untuk menguruskan pelbagai aspek kehidupan harian mereka, daripada mengembangkan wang dan melancong ke luar negara sehinggalah membayar bil serta meraih ganjaran.

“Hasil daripada perniagaan di luar fungsi pembayaran kini menyumbang lebih 50 peratus pendapatan syarikat, sekali gus membuktikan berlakunya perubahan asas dalam cara pasaran menggunakan platform kami,” katanya dalam kenyataan.

Selain segmen bukan pembayaran yang kini menjadi pemacu utama, pasaran luar negara menerusi perkhidmatan rentas sempadan, remitan dan antarabangsa turut mencatatkan pertumbuhan dengan menyumbang 10 peratus kepada hasil syarikat.

Sementara itu, perkhidmatan perniagaan ke perniagaan (B2B) seperti pengiklanan dan infrastruktur digital menyumbang sebanyak 6 peratus kepada hasil keseluruhan.

Mengenai reka bentuk baharu yang mula diperkenalkan pada 4 Jun, TNG eWallet kini membawakan sistem ‘carian utama’ (search-first) pada halaman utama bagi memudahkan akses terus tanpa navigasi berlapis.

Reka bentuk semula itu menyatukan keseluruhan ekosistem aplikasi kepada empat hab utama iaitu GOfinance bagi perkhidmatan kewangan, Near Me untuk menerokai tawaran makanan dan minuman berhampiran, Bil bagi bayaran utiliti dan bil berkala serta Pengangkutan untuk keperluan komuter dan pelancongan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Produk dan Pertumbuhan TNG Digital, Chiew Wei Wing berkata, perubahan ini turut melibatkan bar navigasi bawah yang disusun semula khusus untuk penggunaan satu tangan ketika pengguna bergerak aktif.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan sebuah platform yang lebih ringkas, peribadi dan terasa seperti ia sudah memahami bagaimana cara anda menjalani kehidupan seharian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN