PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada penyandang kerusi Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said atas pemergian ibunya, Datin Salamah Sheikh Ahmad.
“Menerima perkhabaran sedih pemergian Datin Salmah Sheikh Ahmad, bonda kepada Datuk Seri Azalina Othman Said, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, pagi tadi.
“Bagi pihak Keluarga Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada Datuk Seri Azalina dan keluarga atas kehilangan bonda yang tersayang.
“Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan roh mereka yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Salamah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Zuhur.
Julai lalu, bapa Azalina, Datuk Othman Said meninggal dunia pada usia 89 tahun di kediamannya di Kelana Jaya, Selangor kerana sakit tua. – UTUSAN










