PKR pertaruh aktivis, Pas namakan ahli perniagaan ‘gempur’ Shahidan di Arau? - Utusan Malaysia

PKR pertaruh aktivis, Pas namakan ahli perniagaan ‘gempur’ Shahidan di Arau?

SHAHIDAN Kassim bakal ditentang Fathin Amelia Fazlie dalam PRU15 bagi kerusi Parlimen Arau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Nama aktivis muda, Fathin Amelia Fazlie, 28, yang diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon yang bakal diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam dijangka bertanding di Parlimen Arau atau Padang Besar.

Dua kerusi tersebut adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang disandang dua ‘otai’ iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Fathin Amelia merupakan seorang aktivis hak kewarganegaraan Sabah dan mahasiswa ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM).

Calon anak muda tersebut juga dikatakan bergiat aktif dalam politik bersama PKR sejak awal tahun ini dan bapanya juga merupakan anak kelahiran Kuala Perlis.

Bagaimanapun pengumuman rasmi berhubung calon PKR yang bakal bertanding itu dijangka diumumkan esok.

Jika di Arau, Fathin Amelia dijangka bertemu Shahidan yang sebelum ini menyatakan hasrat mempertahan kemenangan di kerusi disandangnya itu sekiranya nama beliau masih dicalonkan pada PRU15.

Bagaimanapun seandainya Shahidan tidak tercalon, peluang pastinya terbuka kepada mana-mana calon yang bertanding untuk merampas kerusi berkenaan.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Arau dimenangi Shahidan dengan majoriti 4,856 undi menerusi pertembungan tiga penjuru.

Shahidan memperoleh 16,547 undi selepas menewaskan calon PKR, Datuk Dr. Abd. Rahman Daud (11,691 undi) dan Pas, Hashim Jasin (11,362 undi). Kawasan Parlimen Arau yang mula dipertandingkan sejak 1974 dan Shahidan telah menjadi penyandang di kerusi tersebut pada PRU7, PRU8, PRU13 dan PRU14.

Dalam pada itu, Pas pula dikatakan bakal mengetengahkan seorang ahli perniagaan sebagai calon di Parlimen Arau dalam PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya