Pengurus hartanah mengaku tidak bersalah campak kucing dari tingkat 15 pangsapuri - Utusan Malaysia

Pengurus hartanah mengaku tidak bersalah campak kucing dari tingkat 15 pangsapuri

TERTUDUH, Chan Kam Kin diiringi anggota polis dan peguam ketika tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk didakwa atas pertuduhan mencampak seekor kucing dari tingkat 15 pangsapuri pada Isnin lalu. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pengurus hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencampak seekor kucing dari tingkat 15 di sebuah pangsapuri di sini, Isnin lalu.

Tertuduh, Chan Kam Kin, 44, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Kam Kin didakwa melakukan khianat ke atas seekor kucing dengan mencampakkannya dari tingkat 15 hingga menyebabkan kematian terhadap haiwan berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pangsapuri di PJS 8/9 di sini pukul 7.30 malam pada 17 Oktober lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mencadangkan supaya tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Kailash Sharma merayu supaya anak guamnya diberi ikat jamin rendah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara seorang anak berusia lapan tahun.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 25 Januari untuk sebutan kes.

Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki melakukan khianat dengan mencampak kucing dipercayai milik jirannya dari tingkat 15 di sebuah pangsapuri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN