Pendakwaan tutup kes Siti Bainun

Pendakwaan tutup kes Siti Bainun

SITI BAINUN AHD RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas memanggil seramai 22 orang saksi, pihak pendakwaan dalam kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down, Bella hari ini menutup kes mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mahmood memaklumkan mahkamah selepas selesai membuat pemeriksaan semula terhadap saksi terakhir mereka iaitu juruteknik mesin penapis air Cuckoo, Mohamed Rezuan Satori, 25.

“Ini saksi terakhir kami dan tidak akan memanggil mana-mana saksi lagi. Dengan ini kami menutup kes,” ujar pendakwa raya itu.

Hakim Isralizam Sanusi mengarahkan pihak-pihak terlibat untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing sebelum atau pada 18 November ini.

Mahkamah turut menetapkan 24 November ini untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan turut menawarkan 15 orang saksi kepada pihak pembelaan termasuk beberapa bekas penghuni Rumah Bonda.

Perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lalu dan antara saksi pendakwaan yang telah dipanggil untuk memberi keterangan pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Bella turut dipanggil memberi keterangan namun keterangan remaja perempuan itu dijalankan secara tertudup selama dua hari.

Bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima antara keterangannya menyatakan Bella pernah dipaksa makan lebih kurang 1,280 biji cili seminggu, makan seperiuk nasi bercampur cuka, cili, kunyit, kepingan cili, kicap manis, kicap masin dan garam.

Bella juga pernah dipaksa makan lima ketul paha ayam yang sudah busuk.

Siti Bainun, 31, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Februari dan Jun 2021 di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya