Pendakwa nafi sembunyi surat daripada Arab Saudi - Utusan Malaysia

Pendakwa nafi sembunyi surat daripada Arab Saudi

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menafikan pihak pendakwaan menyembunyikan empat pucuk surat daripada Arab Saudi berkaitan lima transaksi wang tunai berjumlah hampir AS$180 juta yang dijanjikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sri Ram memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dokumen itu tidak dikemukakan kerana tidak berkaitan dengan perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dihadapi oleh Najib.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mengadakan sidang media memaklumkan perkara itu di luar mahkamah, sebagai serangan secara terus kepada pihak pendakwaan.

Jelas Sri Ram, tertuduh sedang dibicarakan di mahkamah, bukan di khalayak ramai dan pihak pendakwaan tidak boleh menjawab atau memberi maklum balas terhadap sebarang dakwaan yang dibangkitkan kepada pihak media di luar mahkamah.

“Saya mohon mahkamah mempertimbang perkara ini kerana tidak sesuai bagi pihak pendakwaan menjawab sebarang dakwaan yang dikemukakan di luar perbicaraan,” jelas Sri Ram.

KENDERAAN yang membawa Najib Tun Razak tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB. – UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Sri Ram mengemukakan aduan tersebut pada perbicaraan kes rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB melibatkan Najib.

Semalam, Muhammad Shafee mengadakan sidang media di pekarangan mahkamah bagi meluahkan rasa tidak puas hati atas kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan lima transaksi wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Muhammad Shafee dalam kenyataannya berkata, lima transaksi tersebut iaitu dua daripada Kementerian Kewangan Riyadh dan tiga lagi daripada Putera Faisal Turkey Bandar Al Saud dihantar kepada bekas Perdana Menteri di antara Ogos 2011 dan Ogos 2012.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu, Najib dijanjikan hadiah wang tunai AS$1.17 bilion daripada individu yang didakwa kerabat Diraja Arab Saudi bagi menghargai peranan beliau selaku pemimpin Islam moden ketika berjawatan Perdana Menteri.

Pada prosiding hari ini, Sri Ram turut menyatakan, kandungan surat yang dikemukakan oleh pihak pembelaan semalam, sudah ditolak oleh hakim bicara kes SRC International, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan juga di peringkat rayuan.

“Jika pihak pembelaan ingin bergantung kepada surat tersebut dalam perbicaraan ini, mereka perlu memaklumkan bahawa surat itu adalah yang sama yang telah ditolak oleh hakim bicara kes SRC dan di peringkat Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan,” jelas Sri Ram.

Sementara itu, peguam Wan Aizuddin Wan Mohamed bangun mencelah dengan menyatakan, kes yang dibicarakan kini berlainan dengan kes SRC International yang juga melibatkan bekas Perdana Menteri.

Menurut beliau, bagaimana surat-surat tersebut digunakan merupakan perkara berlainan dan sidang media semalam tidak membangkitkan langsung kes berkaitan SRC.

Wan Aizuddin menyatakan, segala bukti keterangan yang dikemukakan pada perbicaraan 1MDB akan diputuskan pada akhir kes pendakwaan kelak.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan esok bagi membolehkan Muhammad Shafee menjawab isu yang dibangkitkan oleh Sri Ram.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN