Pekerja swasta mengaku bersalah bantu kegiatan ah long

Pekerja swasta mengaku bersalah bantu kegiatan ah long

T. THANESH dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin bagi didakwa atas pertuduhan pilihan membantu kegiatan ah long atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang pekerja swasta mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tampin di sini, atas pertuduhan pilihan membantu kegiatan ah long atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

Tertuduh, T. Thanesh, 29, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, pada 25 Ogos lalu, kira-kira pukul 10 malam di sebuah rumah di Taman Gunung Mas, Tampin, tertuduh telah didapati membantu menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada tarikh dan masa yang sama dengan pertuduhan, hasil pemeriksaan polis dalam serbuan serta pemeriksaan di dalam ruang bilik tidur tertuduh telah menemui tujuh keping kad mesin juruwang automatik (ATM) atas nama penama berbeza dipercayai milik peminjam wang.

Turut ditemukan sebuah buku tertera senarai nama peminjam, sebuah kalkulator, sebuah buku tertera kata laluan kad-kad ATM bank peminjam, wang tunai RM200 serta resit pengeluaran.

Selain itu, turut ditemukan tujuh fail mempunyai borang jadual perjanjian pemberian pinjaman wang, sebuah buku baucar tunai, dua telefon bimbit berbeza jenama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam rayuan tertuduh menyatakan kesal dengan kesalahan kali pertama tersebut serta berharap rayuan dapat dikurangkan memandangkan dia menanggung ibu, bapa serta seorang adik yang mengalami masalah jantung.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 dan sekiranya gagal bayar 10 bulan penjara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya