Pasangan Singapura diminta wang suapan dari anggota trafik -

Pasangan Singapura diminta wang suapan dari anggota trafik

Kamarul Zaman Mamat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Percutian hujung minggu pasangan suami isteri warga Singapura ke bandar raya ini bertukar pengalaman buruk apabila mereka diminta wang suapan sebanyak RM500 oleh seorang anggota polis trafik pada 29 September lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Cao, 39, mendakwa, dia dan suaminya ditahan oleh anggota trafik tersebut kira-kira pukul 4 petang yang mendakwa mereka telah melanggar lampu isyarat sebanyak dua kali.

 Katanya, kejadian itu adalah kali pertama mereka ditahan polis ketika berada di Malaysia setelah pintu sempadan darat Johor-Singapura dibuka sejak April lalu.

“Kami menyangka itu hanyalah pemeriksaan rutin. Polis trafik itu meminta pasport dan lesen memandu suami dan bertanyakan sama ada kami kerap datang ke Malaysia dan tahu selok-belok di sini.

“Anggota berkenaan turut mendakwa suami melanggar lampu isyarat dua kali dan meminta suami mengekorinya ke balai polis,” katanya yang berkongsi pengalaman buruk itu dalam media sosial.

Cao berkata, setelah mengekori anggota polis trafik itu sejauh 500 meter, mereka diarahkan memberhentikan kenderaan dan meminta suaminya keluar daripada kenderaan untuk ‘berunding’.

Anggota polis berkenaan meminta suaminya membayar denda sebanyak RM500 (SG$154).

“Pada waktu itu, suami hanya mempunyai RM200 sahaja. Setelah menyerahkan duit itu, anggota trafik berkenaan merampas dompet suami dan mengambil dua keping not SG$50 dan diletakkan dalam bukunya sebelum berlalu meninggalkan kami,” katanya yang mengaku terkesan dan trauma untuk mengunjungi lagi negara ini dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota polis trafik itu ditukarkan tugas serta-merta ke bahagian yang tidak melibatkan orang ramai dan kini dalam siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Johor.

“Polis Johor memandang serius perkara ini yang boleh mencemarkan nama baik dan reputasi serta imej pasukan polis. Siasatan dijalankan dan hukuman yang boleh dikenakan bermula daripada tugasan memenatkan sehingga boleh ditamatkan perkhidmatan dalam pasukan jika didapati bersalah,” katanya yang sambil menegaskan pihaknya tidak akan bertoleransi atau berkompromi dengan perbuatan oleh pegawai dan anggota polis yang menyalahi undang-undang serta etika sebagai penjawat awam. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN