Parti politik baharu perlu ada tujuan, bukan sekadar publisiti

Parti politik baharu perlu ada tujuan, bukan sekadar publisiti

MOHD. Amar Nik Abdullah(dua dari kiri) mengiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian Sambutan Jubli Emas Pas Kawasan Pengkalan Chepa di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.- UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kemunculan parti-parti baharu dalam arena politik tempatan perlu mempunyai tujuan yang jelas, kukuh dan bukan sekadar mencari publisiti atau semata-mata mahu bertanding dalam pilihan raya.

Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, penubuhan parti politik bukan perkara main-main kerana bagi ia turut mempunyai kaitan dengan agama dan tanggungjawab kepada masyarakat.

Katanya, bagaimanapun penubuhan parti politik baharu tidak boleh dihalang kerana ia adalah sebahagian daripada amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

“Malaysia sebuah negara demokrasi dan sesiapa sahaja boleh menubuhkan atau menyokong mana-mana parti politik. Melalui demokrasi berparlimen kita tidak boleh menyekat perkara ini. Pada pandangan saya, kalau kita menubuhkan parti politik biarlah dengan tujuan yang jelas dan kukuh.

“Bukan sekadar mencari publisiti atau untuk membolehkan kita bertanding dalam pilihan raya. Lebih penting, mesti ada persaingan yang sihat,” katanya selepas Majlis Sambutan Jubli Emas Pas Kawasan Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini malam tadi.

Ditanya berkemungkinan ada insentif tertentu daripada kerajaan negeri untuk golongan perantau yang balik mengundi, Timbalan Menteri Besar itu memberitahu, perkara tersebut belum dibincangkan.

“Setakat ini belum ada apa-apa tetapi tengoklah selepas ini kalau ada dana kewangan kita boleh bantu mereka yang balik mengundi di Kelantan.

“Kita tetap menggalakkan pengundi-pengundi yang berada di luar Kelantan untuk balik menunaikan tanggungjawab mereka melalui amalan demokrasi dan memberi sokongan kepada kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN