Sasar 70 pakar paliatif dalam negara menjelang tahun 2030

Sasar 70 pakar paliatif dalam negara menjelang tahun 2030

KHAIRY Jamaluddin (dua dari kanan) melawat pameran pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2022 di Hospital Rembau, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Kementerian Kesihatan menyasarkan untuk mempunyai seramai 70 orang pakar paliatif di negara ini menjelang tahun 2030.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, buat masa ini, hanya terdapat 19 pakar paliatif dengan tambahan 32 lagi pakar perubatan pelatih bagi rawatan tersebut di negara ini.

Menurut beliau, negara memerlukan sekurang-kurangnya seramai 218 orang pakar paliatif jika dibandingkan mengikut nisbah pesakit dewasa yang terdapat di negara ini iaitu seramai 150,000 orang.

“Kementerian Kesihatan hanya mampu menampung rawatan sekitar 10 sehingga 15 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan tersebut.

“Rawatan paliatif ini merupakan satu rawatan yang sangat diperlukan memandangkan bilangan rakyat Malaysia yang berdepan dengan penyakit-penyakit yang terminal semakin meningkat.

“Ia bukan hanya membantu kepada pesakit malah sokongan kepada ahli-ahli keluarga dalam mereka berdepan dengan fasa terakhir kehidupan mereka.

“Sebab itu, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu kami. Sepanjang tiga dekad lepas, sebanyak 30 badan-badan kebajikan bukan kerajaan telah membantu menyalurkan perkhidmatan paliatif di rumah pesakit seluruh negara,” katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2022 di Hospital Rembau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh; Ketua Pengarah Kesihatan,  Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ketua Perkhidmatan Paliatif Kebangsaan, Dr.  Richard Lim Boon Leong.

Mengulas lanjut, Khairy memberikan contoh hanya terdapat lima orang pakar paliatif di Selangor, dua orang di  Alor Setar, Kedah manakala masing-masing seorang pakar di Sabah, Sarawak, Pahang.

“Di Kelantan, Terengganu dan Perlis tiada pakar. Kami berhadapan kekangan untuk meyakinkan pegawai perubatan menjalani latihan dalam rawatan paliatif ini,” katanya.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan perkhidmatan paliatif di negara ini, beliau memaklumkan, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan strategi memastikan rawatan paliatif tidak hanya tertumpu kepada hospital tetapi juga di peringkat klinik kesihatan dan juga rawatan di rumah.

“Banyak kes pesakit-pesakit dan juga ahli-ahli keluarga memilih untuk balik ke rumah, mereka memilih untuk mendapat rawatan berdepan dengan peringkat akhir hayat di rumah masing-masing.

“Sebab itu di bawah strategi kami, bukan hanya mengukuhkan di peringkat hospital dengan penambahan doktor pakar, penambahan jururawat tetapi juga meningkatkan akses kepada mereka yang berada di rumah melalui kerjasama dengan kesihatan primer dan NGO, ” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya