Nik Omar bawa hasrat bapa pastikan Anwar jadi PM 

Nik Omar bawa hasrat bapa pastikan Anwar jadi PM 

NIK OMAR NIK ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak kedua bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar tekad meneruskan hasrat bapanya bagi memastikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. 

Nik Omar berkata, perkara itu antara alasan untuknya tetap bertanding mewakili PH di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini. 

Malah, katanya, keterbukaan menampilkan calon dari pelbagai tokoh kepakaran menonjolkan betapa PH mempunyai komitmen tinggi untuk memperjuang keadilan kepada semua rakyat di negara ini. 

“Alhamdulillah ini urusan negara, insya-Allah untuk kebaikan semua rakyat Malaysia. Kalau ikut tentang Tok Guru (Nik Aziz), Tok Guru sentiasa sebut betapa dia inginkan suatu masa Datuk Seri Anwar ditabal sebagai Perdana Menteri. Jadi saya meneruskan untuk pastikan Datuk Seri Anwar (jadi Perdana Menteri). 

“Dia (Anwar) sudah cukup syarat, pengalaman, kemampuan dan integriti yang ada pada dia. Kita boleh tengok kehidupan harian dia memperjuang keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Keadilan, di sini. 

Ketika ditanya berhubung restu ibu dan keluarga pada pilihan raya kali ini, Nik Omar menegaskan, segala keputusan yang diambil adalah untuk kebaikan semua dan bukannya untuk keluarga beliau semata-mata. 

“Kita sudah sebut isu ini isu negara, tentulah kalau nak buat kebaikan berkaitan kepentingan awam untuk negara dan rakyat semua sekali. 

“Kita menghormati perbezaan pandangan, (tetapi) ia bukan sampai peringkat memisahkan hubungan, (malah) itu juga tidak dibenar dalam Islam. Kalau empat tahun dulu, tak akan benda itu masih tak selesai, alhamdulillah,” jelasnya.  

Terdahulu, Anwar dalam satu sidang akhbar petang ini mengumumkan Nik Omar antara tujuh tokoh diketengahkan PH mewakili kuota PKR dalam menghadapi PRU15 nanti. 

Selain Nik Omar, enam lagi calon adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman yang bertanding di Perak, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa), Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan (calon PH Pahang) dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr. Noraishah Abdul Aziz (calon PH Wilayah Persekutuan). 

Seterusnya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop (calon PH Selangor); bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha (calon PH Negeri Sembilan) dan pelajar doktor falsafah UM, Fathin Amelina Fazlie. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN