SIK: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoal bagaimana kaedah pengeluaran unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, di sini dilakukan termasuk kerja-kerja eksplorasi yang kononnya dibenarkan sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Sahabat Alam Sik, Mohd. Sobri Ramlee berkata, ini kerana berdasarkan Seksyen 2 (1) (a) Akta Perhutanan Negara 1984, nadir bumi tiada dalam tafsiran hasil hutan yang digariskan dalam peruntukan itu.
Justeru, ujar beliau, nadir bumi yang berada dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) adalah khazanah yang patut dijaga dan tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak.
“Adakah lesen eksplorasi seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada Disember 2020 lalu tidak melanggar tafsiran hasil hutan yang ditetapkan?
“Apa pula kaedah pengeluaran yang dijalankan di tapak itu, kita tahu nadir bumi atau REE perlu diekstrak sebelum dibawa keluar dan kerja-kerja pengekstrakan akan menghasilkan sisa-sisa yang boleh mencemarkan tanah, sumber air dan kehidupan di sekitarnya,” katanya, semalam.
Isnin lalu, akhbar ini melaporkan, negara mungkin sudah kerugian mencecah angka berbilion ringgit apabila hasil REE di Hutan Simpan Bukit Enggang dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.
Mineral tidak beradioaktif yang ditemukan di kawasan itu adalah sumber semula jadi bernilai tinggi. Ia boleh digunakan bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain serta kereta elektrik, industri bateri, magnet berintensiti tinggi dan pembuatan kaca.
Mohd. Sobri berkata, majoriti penduduk di sekitar kawasan itu masih bergantung dengan sumber air bersih dari hutan simpan berkenaan dan jika tidak dijalankan secara teratur sudah pasti sisa-sisa yang dihasilkan akan memberi kesan kepada sumber air bersih penduduk.
“Ini yang kami risaukan kerana kami yakin tiada pemantauan yang dijalankan di tapak eksplorasi terbabit apatah lagi Menteri Besar sendiri yang mengesahkan kerja-kerja perlombongan mineral di situ dilakukan secara haram.
“Adakah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Mineral dan Geosains membuat pemantauan bagi memastikan kerja-kerja yang dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” soalnya.
Tambah beliau, sejak pembalakan berskala besar pada 2017 di Hutan Simpan Bukit Enggang dilakukan, pelbagai kesan terhadap penduduk sekitar telah dialami terutamanya sumber air bersih yang tercemar teruk.
“Sehingga kini, majoriti penduduk belum dapat menikmati sumber air terawat dengan sempurna sedangkan sumber air semula jadi masih terganggu apabila hujan di kawasan hutan simpan berkenaan dan sering terputus bekalan apabila musim kemarau melanda.
“Selain itu, ia juga akan beri kesan kepada keselamatan makanan kerana sekitar kaki Bukit Enggang terdapat aktiviti pertanian seperti penternakan ikan, sayur-sayuran, sawah padi, dusun dan penternakan haiwan. Jika perlombongan REE dijalankan sudah pasti pencemaran sisa, yang tidak mustahil ada radioaktif itu, akan mengalir ke sungai,” katanya. – UTUSAN










