KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi bergelar Ahli Parlimen Pekan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan manakala undang-undang menghalang banduan bertanding dalam pilihan raya melainkan selepas memperoleh pengampunan.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini berpendapat, Najib tidak lagi tertakluk kepada tugas dan fungsi keperlembagaan termasuk mengakses pegawai Parlimennya dan menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid berpuas hati, Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu dan telah diwartakan, membawa maksud berakhirnya sidang Dewan Rakyat bagi penggal tersebut.
‘Ini bermakna serta semua wakil rakyat tidak lagi bergelar Ahli Parlimen. Tidak mungkin pemohon (Najib) menjadi Ahli Parlimen kerana undang-undang menghalang seorang banduan bertanding dalam pilihan raya.
“Melainkan pengampunan (melalui Lembaga Pengampunan) diberikan atau sabitan dan hukuman diketepikan melalui permohonan semakan,” jelas beliau.
Hakim Ahmad Kamal menyatakan demikian ketika menolak permohonan Najib untuk kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia yang menghalangnya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Mahkamah tidak mengeluarkan perintah terhadap kos.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh 19, 20 dan 26 Januari tahun depan untuk mendengar semakan kes berkenaan.
Ketika membacakan alasan penghakimannya, beliau berkata, relif yang dipohon bagi mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman, kini akademik dan wajar ditolak.
Jelasnya, relif agar Najib (pemohon) diberi kebenaran mengakses pegawai Parlimen dan menghadiri persidangan Dewan Rakyat, bukan lagi isu langsung yang boleh dipertimbangkan oleh mahkamah.
Hakim Ahmad Kamal berpendapat, oleh kerana pemohon bukan lagi bergelar Ahli Parlimen, beliau tidak lagi terlibat dengan persidangan Dewan Rakyat.
Beliau berkata, selain itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November yang juga membawa maksud pembentukan Kabinet baharu.
Dalam prosiding itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Najib memohon kebenaran mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara pada 28 September lalu yang menolak permohonannya menghadiri sidang Parlimen atas alasan keselamatan.
Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 5 Oktober lalu, selain Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, Najib turut menamakan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pada 19 Oktober lalu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah agar kebenaran semakan kehakiman ditolak kerana tidak disokong oleh alasan yang relevan.
Shamsul menghujahkan, permohonan Najib wajar ditolak kerana beliau bukan lagi bergelar Ahli Parlimen Pekan ekoran pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Shamsul berhujah, Najib tidak lagi terikat untuk melaksanakan tugas-tugas keperlembagaannya.
Muhammad Shafee pula berhujah, Najib masih bergelar Ahli Parlimen Pekan dan alasan responden-responden ketika menolak permohonan beliau atas faktor keselamatan adalah tidak munasabah kerana bangunan Parlimen di bawah kawalan kerajaan. – UTUSAN