My Gaya Month martabat industri fesyen

My Gaya Month martabat industri fesyen

ANTARA sesi pertunjukan fesyen MY Gaya Month di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Bumiputera Designer Association (MBDA) berharap penganjuran MY Gaya Month yang mencapai kemuncaknya semalam dapat memartabatkan industri fesyen Malaysia dan memupuk minat terhadap produk-produk tempatan.

Presiden MBDA, Rasta Rashid berkata, persatuan itu yakin langkah yang diambil kelak berupaya mengubah ekosistem fesyen untuk menjadi lebih kondusif di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Katanya, ramai sedia maklum tentang keunikan hasil karya, warisan dan budaya negara ini namun belum ramai yang sanggup mengutamakan pemilihan produk-produk tempatan berbanding jenama antarabangsa.

“Justeru, rasa kecintaan pada produk-produk keluaran negara tidak dapat disemai dan kesedaran tidak dapat dipupuk jika orang ramai tidak tahu sebab mereka perlu menyokong produk keluaran Malaysia. 

“Hasrat kami adalah melihat rasa cintakan produk keluaran Malaysia terus berkekalan dan bertambah kuat di hati semua rakyat Malaysia selepas kempen ini walaupun acara yang kita anjurkan ini hanya berlangsung selama sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, MBDA dalam kenyataan sama memaklumkan, acara yang diatur sempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Fahrenheit 88, di sini itu bermatlamat meningkatkan kesedaran tentang kemampuan kualiti produk-produk tempatan untuk bersaing dengan jenama-jenama antarabangsa.

Selain itu, katanya, ia bertujuan menggalakkan jualan demi kelestarian negara dan pada masa sama mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu.

“Acara MY Gaya Month dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu emporium jenama untuk mempamerkan semua 20 jenama yang mengambil bahagian, forum (diskusi panel) serta peragaan dan pertunjukan fesyen.

“Setiap hari terdapat tiga sesi pertunjukan fesyen yang memberikan ruang kepada tiga hingga empat pereka jenama berbeza untuk diperagakan. Antara jenama yang dipertonton termasuk Masterpiece by Masrina Abdullah, satu jenama yang beraspirasi untuk mencuri perhatian peminat dan penggemar batik, dengan rekaan yang memberikan tumpuan kepada corak-corak bertemakan kesederhanaan yang elegan, selesa dan flowy,” katanya.

Dalam pada  itu, Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDNHEP, Datuk Rohaizi Bahari berkata, peragaan itu amat bermakna kerana dapat menyerlahkan bakat luar biasa yang dimiliki pereka-pereka tempatan dalam menterjemah minat dan jiwa penggemar-penggemar fesyen Malaysia. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN