DUNGUN: Seorang mekanik maut selepas digilis jentolak ketika sedang membaiki jentera tersebut dalam kejadian di tapak lombong bijih besi di Bukit Besi di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, mangsa, Kong Hon Meng, 63, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang membaiki jentolak jenis Komatsu dan berada di atas roda berantai jentera tersebut berseorangan.
“Difahamkan, ketika mangsa cuba menghidupkan jentera itu dengan menggunakan ‘jumper’, tiba-tiba jentera itu bergerak sendiri.
“Situasi itu menyebabkan mangsa terjatuh ke tanah lalu digilis oleh jentera itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, beberapa rakan mangsa yang menyedari kejadian kemudiannya bertindak memberhentikan jentera tersebut.
Baharudin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN