Manfaatkan fasiliti sisa lengai AFES

Manfaatkan fasiliti sisa lengai AFES

afes
HAMDAN Husain (kiri) menandatangani plak perasmian sekali gus menandakan Fasiliti Pengurusan Sisa Lengai mula beroperasi di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kontraktor dan pemaju disaran menguruskan pelupusan sisa binaan dan perobohan mereka dengan memanfaatkan Fasiliti Pengurusan Sisa Lengai yang dibina di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, Mukim Sungai Karang, di sini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin berkata, susulan itu mereka turut disyaratkan mempunyai permit sisa lengai bagi kerja-kerja pelupusan sisa binaan tidak lama lagi.

Katanya, pusat pembuangan pengurusan sisa lengai yang baharu itu disediakan Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES) sebagai permulaan dalam membentuk ke arah bandar raya hijau dan lestari.

“Dengan penggunaan kaedah yang lebih teratur ini bukan sahaja dapat memulihara alam sekitar sekali gus mengawal pelupusan haram.

“Kita tahu sebelum ini banyak sisa bahan binaan ini dibuang secara haram. Ini menyebabkan gangguan kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Melalui pembinaan fasiliti inisatif hijau ini, kelestarian dan kebersihan bandar Kuantan dijangka dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi lawatan tapak selepas merasmikan Fasiliti Pengurusan Sisa Lengai (Pelupusan Sisa Binaan dan Perobohan) di Mukim Sungai Karang semalam.

Yang hadir sama Pengarah AFES, Datuk Mohd. Zain Hassan.

HAMDAN Hussain (dua dari kiri) diiringi Mohd. Zain Hassan (tengah) meninjau tapak fasiliti pengurusan sisa lengai yang di bina di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, Mukim Sungai Karang di Kuantan, Pahang.

Penyediaan khidmat pengurusan tapak pembuangan dan pelupusan sisa lengai itu mengenakan bayaran sebanyak RM16 per tan.

Tapak pelupusan seluas 3.6 hektar tersebut adalah yang pertama di negeri ini dibina di kawasan tapak milik Alam Flora Sdn. Bhd.

Hasil daripada sisa yang dilupuskan di fasiliti tersebut dikitar semula seterusnya diguna semula dalam industri pembinaan.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, dalam tempoh perancangan jangka panjang, tapak tersebut boleh dijadikan tempat pembangunan perniagaan dan beriadah.

“Saya yakin, akhirnya seluruh kawasan tapak ini nanti diusahakan sebagai satu kawasan rekreasi.

“Bukan itu sahaja, dalam tempoh 10 tahun akan datang ia akan dijadikan kawasan pelancongan yang sangat menarik,” katanya.

Jenis-jenis sisa yang diterima:

  1. Sisa konkrit
  2. Sisa batu-bata/baur, jubin dan seramik
  3. Sisa berasaskan simen
  4. Sisa bahan pengorekan

Sementara itu, Mohd. Zain berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan MBK dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebagai badan pelaksana dan pemantauan sisa pepejal termasuk pelupusan sisa binaan dan perobohan.

Katanya, fasiliti yang dibina itu dijana secara sistematik dan dijangka boleh bertahan selama tujuh hingga 10 tahun..

Sisa yang diterima termasuk sisa konkrit, batu bata atau baur dan berasaskan simen dengan kapasiti binaan serta perobohan dianggarkan 120 hingga 170 tan metrik sehari.

KUANTAN 27 OKT 2022- HAMDAN Hussain (dua dari kiri) diiringi Mohd. Zain Hassan (dua dari kanan) meninjau tapak fasiliti pengurusan sisa lengai yang di bina di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, Mukim Sungai Karang di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB

“Selain itu, AFES sentiasa memberi kesedaran tentang pembuangan sisa yang mengikut dasar ditetapkan kerajaan.

“Komuniti juga harus memainkan peranan yang penting dalam membudayakan amalan kelestarian ini selaras dengan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia bersih.

“Transformasi daripada ekonomi linear kepada kitaran ekonomi yang berteraskan kepada prinsip mengurangkan, mengguna semula dan mengitar semula perlu diperluas lagi ke arah meminimumkan penjanaan sisa pepejal dan memaksimumkan penggunaan sumber, agar seterusnya dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida kepada alam sekitar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.