Malaysia perlu 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi - PM

Malaysia perlu 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi – PM

ISMAIL Sabri Yaakob melawat pameran pada Majlis Pelancaran Pelan Induk Taman Mranti dan Penjenamaan Baharu Mimos Bhd. di Mranti Park, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi sekiranya mahu bersaing dengan negara-negara terkemuka dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hal ini kerana berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia hanya mewakili 29.6 peratus sahaja.

Justeru kata beliau, amat penting merancakkan semula ekosistem teknologi dan inovasi bukan sahaja menerusi bekalan bakat berterusan, tetapi juga berusaha mengurangkan brain drain di dalam kalangan bakat-bakat hebat tempatan.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan komited menyediakan infrastruktur terbaik untuk memacu inovasi tempatan. Apa yang diperlukan sudah pasti sebuah lokasi sebagai hab inovasi dengan infrastruktur yang bersepadu.

“Ini bermakna negara memerlukan sebuah taman teknologi yang menjadi titik pertemuan pemegang taruh antaranya inovator, penyelidik dan pelabur bagi mengukuhkan ekosistem STI, selain mampu menarik pelaburan langsung asing dan domestik bagi memacu ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Pelan Induk Taman Malaysian Research Accelerator For Technology And Innovation (Mranti) dan Penjenamaan Baharu Miros Berhad di Mranti Park, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sehubungan itu kerajaan meluluskan sebanyak 99 projek dan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi bernilai RM5.6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menyokong usaha-usaha pembangunan sektor inovasi.

Katanya, melalui National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), sebanyak 163 syarikat telah diluluskan dan menerima sokongan pembiayaan sebanyak RM67 juta, bantuan kawal selia, teknikal dan kepakaran.

Mengulas Taman Mranti pula, Ismail Sabri berkata, lokasi itu merupakan hab inovasi terunggul di Malaysia yang memberi tumpuan kepada tiga teras pembangunan iaitu Inovasi, Kemampanan Alam Sekitar dan Budaya Urban.

Ujarnya, Kuala Lumpur merupakan lokasi terbaik bagi inisiatif taman teknologi dan inovasi apabila disenaraikan sebagai salah sebuah daripada 10 hab inovasi terunggul di Asia Pasifik berdasarkan Tinjauan Industri Teknologi Global 2021 oleh KPMG.

“Kawasan seluas 686 ekar ini, telah menarik minat banyak syarikat teknologi, termasuk Interven Biosciences, Dedikasi Aba Biosciences, BoomGrow, Spygene Laboratories, Vivantis Technologies dan Reszon.

“Tahun ini, beberapa buah lagi syarikat teknologi antarabangsa menunjukkan minat untuk bertapak di kawasan ini,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, Pelan Induk baharu Taman Mranti dilancarkan hari ini bertujuan memupuk keupayaan Malaysia dalam Revolusi Industri 4.0 dan juga teknologi terkini daripada sistem Internet Pelbagai Benda (IoT), perkhidmatan Protokol Internet (IP) dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih.

“Ia dijangka dapat mencipta lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu, dan ini adalah berita baik untuk seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan penjenamaan semula Mimos Berhad kepada Mimos Global bagi melambangkan imej baharu lebih meluas, bersesuaian dengan daya saing bidang teknologi yang tidak mengenal sempadan.

Beliau berharap Mimos Global akan terus bekerja keras untuk membantu kerajaan memacu pembangunan dan meningkatkan penguasaan dalam sektor kepakarannya.

“Kerajaan pula bertindak menyediakan sokongan kewangan dan kemudahan yang sewajarnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.