MAINS beri perkhidmatan kaunseling percuma

MAINS beri perkhidmatan kaunseling percuma

mains
SESI kaunseling yang dikendalikan kaunselor bertauliah di Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan, Jabatan Zakat, MAINS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cabaran persekitaran semasa yang dihadapi ketika ini banyak memberikan kesan kepada kehidupan seharian masyarakat.

Sebagai contoh, ketika negara melalui fasa pandemik Covid-19, ramai yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan, tidak kurang yang turut kehilangan insan tersayang.

Mendepani segala cabaran berkenaan, ramai melihat aspek psikologi dan kaunseling perlu diberikan tumpuan dalam pemulihan mereka terkesan tersebut khususnya yang berkaitan emosi.

Di Negeri Sembilan antara pihak yang memberikan perkhidmatan kaunseling adalah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Di bawah Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan, Jabatan Zakat, MAINS, perkhidmatan itu malah diberikan secara percuma kepada semua lapisan masyarakat yang memerlukan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan MAINS, Norazman Amat berkata, MAINS merupakan satu-satunya majlis agama Islam negeri yang mempunyai bahagian khas kaunseling dalam memberikan perkhidmatan berkenaan.

“Kami mempunyai kaunselor yang mendapat pengiktirafan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia. Di negeri lain saya difahamkan melalui jabatan agama negeri, hanya terdapat pegawai runding cara yang membantu menyelesaikan masalah rumah tangga.

“Bagaimanapun khidmat kaunseling MAINS lebih menyeluruh, tidak hanya perkahwinan malahan khidmat nasihat undang-undang keluarga Islam, kaunseling keluarga, serta kaunseling secara berkelompok, semuanya diberikan secara percuma,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Menara MAINS baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Norazman berkata, Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan, Jabatan Zakat MAINS mempunyai seramai 17 orang kaunselor bertauliah dan cawangan pejabat kaunseling di setiap daerah kecuali Jelebu.

“Perkhidmatan kaunseling MAINS juga menjadi pilihan masyarakat dari luar Negeri Sembilan khususnya negeri-negeri berdekatan seperti Melaka, Selangor dan Johor.

“Contohnya, Pejabat Kaunseling Cawangan Tampin sering dihadiri individu dari Melaka yang memerlukan perkhidmatan ditawarkan oleh kami,” katanya lagi.

Jelas beliau, pihaknya memberikan perkhidmatan terhadap individu atau klien yang hadir secara sukarela dan mereka yang dirujuk oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

mains
NORAZMAN Amat ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya
di Menara MAINS, Seremban baru-baru ini.

“Tujuan menghadiri kaunseling ini bukanlah kepada mereka yang menghadapi masalah sahaja tetapi juga memberi bantuan supaya pihak yang terlibat dapat mencari jalan penyelesaian dan kata sepakat.

“Ia termasuklah berkaitan hal ehwal keluarga yang melibatkan campur tangan pihak ketiga selain isu sosial anak-anak, ini semua sering dirujuk pihak kami.

“Kami juga turut memberikan perkhidmatan kepada golongan memerlukan seperti klien yang terlibat dengan dadah serta orang kurang upaya (OKU),” katanya lagi

Beliau menambah, selain itu, perkhidmatan kaunseling silang budaya yang memfokuskan klien saudara baharu juga disediakan oleh MAINS.

“Di samping itu, perkhidmatan kaunseling berkelompok juga diberikan iaitu klien yang mempunyai masalah yang sama melebihi lima klien.

“Contohnya kelompok ibu tunggal yang memerlukan bantuan keusahawanan, aspek kaunseling diberikan kepada mereka selain kami bekerjasama dengan bahagian pendidikan untuk membantu anak-anak mereka yang masih bersekolah,” katanya.

Perkahwinan kes tertinggi dirujuk

Menurut Norazman, perkahwinan merupakan isu yang paling tinggi dirujuk ke Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan malah dari bulan Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 296 kes tersebut telah dirujuk.

“Kes melibatkan keluarga pula adalah sebanyak 104 kes, kerjaya (19), akademik (11), sosial (26), kewangan (51) kes, spritual (30) dan isu peribadi yang melibatkan sebanyak 21 kes.

“Dalam tempoh tersebut juga didapati golongan wanita lebih ramai melalui sesi kaunseling dengan kami iaitu seramai 1,501 orang manakala lelaki seramai 1,477 orang,” katanya.

Dalam pada itu, Norazman menjelaskan, pihaknya ketika ini mampu mengendali antara tiga hingga lima sesi kaunseling sehari.

“Masyarakat mula menyedari dan melihat perkhidmatan kaunseling ini sebagai tempat terbaik untuk dirujuk membantu mereka mencari penyelesaian masalah.

“Peningkatan sesi kaunseling sebenarnya satu perkara positif dan maklum balas itu jelas menunjukkan bahawa masyarakat semakin menerima perkhidmatan kaunseling yang diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya