PETALING JAYA: Rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah berhubung semakan hak pemberian 40 peratus sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diperjelaskan esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan diumumkan ketika lawatan rasmi beliau di negeri berkenaan.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan segala isu berkaitan pelaksanaan MA63 diselesaikan secara baik dan berlandaskan semangat Persekutuan Malaysia.
“Kita akan jelaskan esok (hak 40 peratus Sabah),” katanya ketika ditemui pemberita sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor hari ini.
Sebelum ini Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pengiktirafan kerajaan Persekutuan terhadap hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil akan memperkukuh usaha mempercepatkan agenda pembangunan negeri itu.
Katanya, walaupun kes berkaitan tuntutan Sabah itu masih menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan, GRS kekal dengan pendirian semakan terbaharu terhadap kadar berkenaan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan mesti dilaksanakan tahun ini. – UTUSAN










