PETALING JAYA: Kerana terlalu rindu, penyanyi dan pelakon, Datuk Yusry Abdul Halim gagal menahan air mata usai mendengar pesanan suara dari isteri tercinta, Datin Lisa Surihani yang kini berada di Tanah Suci Mekah.
Menurut Yusry, dia tidak pernah berjauhan daripada suri hatinya itu dalam tempoh yang lama sepanjang 14 tahun berkahwin, namun akur demi isterinya menunaikan ibadah haji dengan tenang.
“Setiap hari kami membuat panggilan video kerana pertama kali berjauhan sepanjang ini selama 14 tahun berkahwin. Ini paling lama dan saya amat terasa.
“Anak-anak juga rindu tetapi itulah dia pun sedang beribadah, saya tidak mahu ganggu. Kali terakhir kami berhubung malam tadi,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan 3 Pagi Era, hari ini.
Menerusi video yang dimuat naik Era FM di Instagram, Lisa tampil membuat kejutan dengan mengirimkan pesanan suara buat suami tercinta.
Melalui pesanan suara tersebut, Lisa meluahkan rasa bangga terhadap penyanyi lagu Dekat Padamu itu yang meraih sambutan positif selepas menjayakan watak Datuk Muzaffar menerusi drama Dendam Seorang Mentua.
“Awak telah lakukan dengan baik, MashaAllah. Doa saya untuk awak semoga Allah pelihara setiap langkah pergi dan balik mencari rezeki untuk kami sekeluarga.
“Semoga Allah permudah segala urusan awak dalam apa juga awak lakukan. Semoga Allah makbulkan setiap doa-doa awak,” kata Lisa.
Dalam masa sama, Lisa sempat mendoakan agar suaminya dikurniakan rezeki yang melimpah ruah serta berkat susulan kejayaan watak yang dijayakan menerusi drama 50 episod itu.
“Kami sebenarnya bercakap setiap hari walaupun berjauhan. Kami berdua saling berbalas mesej dan bersyukur walaupun sudah lama tidak berlakon TV tapi lakonan awak diterima sangat baik oleh mereka yang menonton.
“Sebagai isteri, saya tumpang gembira dan bangga untuk awak. Semoga kejayaan daripada drama ini membuka pintu rezeki yang baik-baik dan halal untuk kami sekeluarga,” ujarnya.
Nama Yusry mula menjadi bualan hangat dalam kalangan wargamaya apabila memegang watak sebagai Datuk Muzaffar menerusi drama Dendam Seorang Mentua.
Selain Yusry, drama tersebut turut dibintangi Tracie Sinidol, Hariz Hamdan, Chacha Maembong, Lisdawati dan ramai lagi.










