Lokman Noor kekal dipenjara sebulan hina mahkamah

Lokman Noor kekal dipenjara sebulan hina mahkamah

LOKMAN Noor Adam kekal menjalani hukuman penjara sebulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kekal menjalani hukuman penjara sebulan atas kesalahan menghina mahkamah kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Demikian keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan hari ini selepas menolak rayuan Lokman bagi mengetepikan sabitan dan hukuman serta rayuan silang pendakwa raya terhadap hukuman.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan berpuas hati rayuan kedua-dua pihak tiada merit manakala hukuman yang dijatuhkan, wajar dan munasabah.

“Tiada sebab bagi panel ini untuk mengusik keputusan Mahkamah Tinggi kerana hakim berkenaan telah membuat pertimbangan yang betul dengan mengambil kira kepentingan awam dan faktor sampingan lain ketika mencapai keputusannya,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima ketika membacakan keputusan tersebut.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah agar pelaksanaan hukuman terhadap Lokman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dusuki Mokhtar tidak membantah permohonan penangguhan.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

Pada 22 Oktober 2019, Hakim Collin memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Ketika membacakan alasan penghakimannya, Hakim Che Mohd. Ruzima berkata, fakta berhubung prosiding komital terhadap Lokman tidak dipertikai kerana ia berpunca daripada laporan polis yang dibuat pukul 3.24 petang, 25 September 2019 dan satu kenyataan media dibuat pada hari sama, pukul 6.33 petang.

Ujar beliau, panel itu berpuas hati bahawa laporan polis tersebut boleh diklasifikasikan sebagai laporan maklumat pertama namun mahkamah memberi penekanan pada ayat terakhir dalam laporan itu.

“Ayat itu menyebut: Adalah tidak masuk akal Datuk Seri Najib orang yang teraniaya akibat namanya digunakan oleh manusia-manusia durjana didakwa mencemar imejnya sedangkan mereka yang memperoleh manfaat daripada perlakuan jenayah ini bebas dan tidak didakwa pula.”

Panel itu berpendapat, ayat terakhir itu merujuk kepada Amhari memandangkan keseluruhan laporan polis perayu berkait dengan keterangan saksi itu ketika perbicaraan.

Dalam laporan media pula, perayu telah membuat komen berkaitan kes SRC International dan 1MDB selain menyebut nama-nama pesalah `sebenar’ kedua-dua kes itu termasuk Amhari dengan mengungkapkan kata-kata berbentuk amaran.

Panel itu berpuas hati, perkataan-perkataan dalam laporan itu tidak perlu diungkapkan sekiranya perayu benar-benar berhasrat menjalankan kewajipan awam membantu pihak berkuasa.

“Kenyataan media mengulas laporan polis dengan mengungkapkan perkataan yang tidak sepatutnya telah menyebabkan laporan polis itu tidak boleh dilindungi,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.

Oleh yang demikian, panel itu berpendapat, hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika membuat pertimbangan terhadap kenyataan perayu.

Panel itu berpuas hati, berdasarkan laporan polis, transkrip kenyataan media dan eksibit yang dikemukakan adalah memadai bagi Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis kepada perayu untuk menjawab pertuduhan menghina mahkamah.

“Berkaitan ujian yang digunakan dalam kes-kes menghina mahkamah, apa yang dilihat adalah perbuatan, bukan niat dan jika perbuatan terjumlah kepada mengganggu perjalanan pentadbiran keadilan, itu sudah memadai tanpa mengira keadaan fikiran,” ujar beliau.

Berbalik kepada hukuman, panel itu berpendapat mereka tidak boleh sewenang-sewenangnya mengusik hukuman tersebut kecuali dibuktikan bahawa ia melampau atau gagal mematuhi prinsip penghukuman.

Pada 29 September lalu, Dusuki berhujah, Lokman membuat dakwaan dalam laporan polisnya bahawa Amhari yang mengelirukan Najib dan bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk memangsakan bekas Perdana Menteri.

Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara lebih daripada tempoh sebulan kerana ia tidak memadai bagi melindungi integriti sistem kehakiman dan memberi pengajaran kepada orang awam.

Pada 14 Januari 2020, Hakim Collin menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Tommy dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Tommy pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Tommy berkata, pada hari sama Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari yang juga saksi pendakwaan kelapan berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya