Ladang babi punca pencemaran - Utusan Malaysia

Ladang babi punca pencemaran

KAWASAN jeti nelayan di Tanjung Sepat terjejas dipercayai akibat air kumbahan dari ladang ternakan babi berhubung pencemaran teruk laut. - MINGGUAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lokasi punca pelepasan air kotor berwarna hitam dan berbau busuk ke pantai Tanjung Sepat seperti didedahkan akhbar ini sebelum ini disahkan berpunca dari tempat penternakan babi di kawasan berdekatan.

Ia hasil lawatan bersepadu bersama semua agensi teknikal berkaitan ke atas beberapa premis ladang ternakan babi di situ pada 23 September lalu dan mendapati lokasi punca berkaitan diusahakan lapan premis penternakan babi di atas sebuah bidang tanah persendirian berstatus pertanian.

Kesemua premis itu disahkan beroperasi dengan lesen yang didaftarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, hasil siasatan mendapati terdapat air parit yang mengalir keluar daripada tanah lot persendirian dan akhirnya mengalir ke laut.

Jelas beliau, berdasarkan pemerhatian fizikal dan laporan pensampelan, kualiti air parit tersebut berada pada tahap rendah.

“Berdasarkan siasatan, aktiviti di kawasan ini hanyalah penternakan babi dan perladangan sawit, dan disyaki aktiviti penternakan babi adalah punca kepada penurunan kualiti air parit ini.

“Pensampelan dilaksanakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di lokasi premis penternakan bagi parameter Ammoniakal Nitrogen (AN) dan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) sekali gus mencatatkan keputusan berada di dalam Kelas Kelima dan ia sangat signifikan dengan aktiviti-aktiviti berkaitan penternakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Keputusan siasatan itu selari dengan dapatan ujian kualiti air dilaksanakan sendiri Utusan Malaysia di Tanjung Sepat dan Bagan Lalang pada 22 Sep­tember lalu de­ngan kerja­sama sebuah mak­­­mal be­bas ber­tauliah di Sela­ngor selepas laporan khas berhubung isu pencemaran babi di kawasan itu disiarkan pada 15 September.

Keputusan makmal yang di­­peroleh pada 30 September lalu mendapati kandungan mikrobiologi air laut di dua kawasan itu ada­lah bahaya untuk sentuhan kulit manusia kerana kandungan mikrobiologinya melebihi pia­waian ditetapkan mengikut Stan­dard Kebangsaan Kualiti Air Rekreasi Semulajadi, Kemen­terian Ke­sihatan.

Parameter ba­gi kandungan faecal coliform di bawah ujian mikrobiologi ia­i­­tu tahap kandungan najis sa­ma ada haiwan atau manusia dalam sumber air di kedua-dua tempat itu adalah tinggi.

Bagi air muara pantai Tanjung Sepat, dapatan nilai yang diperoleh adalah 2,500 cfu/100mL manakala di Bagan Lalang pula pada kadar lebih tinggi iaitu 3,800 cfu/100mL sekali gus melebihi standard kontak primer (mandi) bagi sentuhan kulit manusia yang ditetapkan pada kadar 100 cfu, manakala tahap kontak sekunder pula pada kadar 1,000 cfu.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, bertindak atas kejadian itu, pihak LUAS mengeluarkan Surat Arahan kepada pemilik tanah di bawah Seksyen 121, Enakmen LUAS 1999 yang mengarahkan pemilik tanah menjalankan kerja-kerja pemulihan.

Ini termasuk mengarahkan pembaikan ke atas parit di dalam lot tanah sehingga kualitinya yang akan mengalir keluar adalah berada pada tahap yang baik dan memuaskan.

Pada masa sama, beliau berkata, pemilik tanah juga diarahkan menjalankan kerja-kerja pemulihan dan pembaikan ke atas parit yang berada di luar lot tanah disebabkan impak yang berpunca daripada parit lot tanahnya.

“Sekiranya pemilik premis gagal mematuhi arahan dikeluarkan LUAS, satu kertas siasatan terperinci akan dilengkapkan dan diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan perundangan selanjutnya.

“Kerajaan Negeri Selangor melalui agensi-agensinya mengatur beberapa strategi dan usaha untuk menangani permasalahan berkaitan pencemaran air laut di Tanjung Sepat, Bagan Lalang ini,” katanya.

Laporan khas Utusan Malaysia pada 15 September lalu mendedahkan penderitaan kira-kira 7,000 penduduk Tanjung Sepat berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Selain bau busuk, air dalam parit dan anak sungai di sekitar kawasan berkenaan berwarna hitam pekat dan mengalir ke laut yang terletak kira-kira 30 meter dengan tinjauan di sekitar Kampung Ladang Tumbuk mendapati, kedudukan kandang babi hanya terletak 50 hingga 200 meter dengan penempatan penduduk melibatkan sempadan Kuala Langat, Teluk Bunut serta Tanjung Sepat.

Bulan lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengarahkan semua pengusaha ternakan babi di Tanjung Sepat segera melaksanakan kerja pembersihan dan penyelenggaraan ke atas ladang dan sistem kumbahan mereka selain najis ternakan berkenaan perlu dilupuskan di luar kawasan ladang dan dihantar ke tapak pelupusan yang dibenarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya