Kurangkan kerenah birokrasi, percepat saluran bantuan

Kurangkan kerenah birokrasi, percepat saluran bantuan

AZRIL MOHD. AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengurangkan kerenah birokrasi bagi mempercepatkan pemberian bantuan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Masa Depan Malaysia, Azril Mohd. Amin berkata, bagi memperkasakan kumpulan bumiputera dalam kategori B40 melalui Bajet 2023, kerajaan juga  harus membangunkan ekonomi bernilai tinggi untuk menyelesaikan isu ketidaksamaan ekonomi antara kaum.

Beliau berkata, isu ini penting untuk diambil perhatian kerana kumpulan bumiputera merupakan kelompok besar daripada kumpulan B40.

“Negeri-negeri yang mempunyai penduduk Bumiputera yang tinggi (Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah) mencatatkan insiden kemiskinan tertinggi akibat ketidaksamaan dan pembangunan yang tidak seimbang dari sudut kekayaan, pendapatan, pendidikan dan infrastruktur. 

“Negeri-negeri ini mendahului peratusan isi rumah berpendapatan di bawah RM7,000. Prestasi ekonomi Sabah dan Sarawak sepanjang lima tahun lepas juga lebih rendah daripada purata negara iaitu 2.7 peratus setahun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan perlu menggariskan hala tuju dan objektif yang jelas dalam membantu golongan Bumiputera, terutamanya mereka yang tergolong di bawah isi rumah berpendapatan menengah.

“Sehingga kini, masih belum wujud sebarang pelan strategik berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030). 

“Pelaksanaan tindakan susulan TPB2030 perlu dimaklumkan kepada umum bagi memastikan ketelusan dan keterangkuman. Pelaksanaan pelan tindakan tersebut hendaklah berasaskan keperluan, dengan tumpuan untuk membangunkan Bumiputera B40 untuk membina daya tahan terhadap sebarang cabaran ekonomi yang mendatang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada peringkat mikro, kerajaan harus mengutamakan asas modal yang diperlukan oleh usahawan untuk menaiktaraf Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri yang kurang membangun. 

“Ini boleh dilakukan menerusi beberapa langkah dan insentif melalui pemindahan tunai langsung kepada pengusaha perniagaan.

“Langkah ini akan menambahbaik ekosistem perniagaan dan menyediakan akses kepada pasaran negara bagi mewujudkan penawaran pekerjaan bergaji tinggi, serta  meneroka konsep wakaf bagi mempelbagai sumber kewangan untuk membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti bumiputera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya