Kuasa SPR tangguh proses undi

Kuasa SPR tangguh proses undi

BENDERA Barisan Nasional dan Umno dipasang di laluan masuk ke sebuah kampung di Pauh, di Kangar, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa menangguhkan proses pengundian di mana-mana pusat mengundi atas sebab-sebab tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebab-sebab itu termasuk berlaku banjir atau terdapat mana-mana pusat mengundi dinaiki air yang mengakibatkan proses pengundian tidak dapat dijalankan.

Jika itu berlaku, kata beliau, undang-undang itu memberi kuasa kepada SPR menetapkan satu tarikh baharu atau menangguh proses pengundian, mengikut mana yang berkenaan.

“Bagi tujuan itu, (penangguhan) hanya di peringkat pusat mengundi. Perisytiharan darurat tidak diperlukan.

“Tatacara kerja bagi pengurusan penjalanan proses pengundian di pusat mengundi sudah diberi kuasa kepada SPR di bawah perundangan tersebut,” katanya di sini semalam.

SPR kelmarin menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian PRU15 dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK DUN) Bugaya, Sabah, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November serta bagi pengundian awal pula pada 15 November ini.

Mengikut ramalan pakar meteorologi, risiko banjir besar terutama di negeri-negeri Pantai Timur adalah tinggi semasa musim Monsun Timur Laut yang lazimnya bermula pada pertengahan November hingga Februari tahun depan.

WAN AHMAD WAN OMAR

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, jika timbul keperluan kepada SPR melibatkan sebarang ketetapan undang-undang, SPR sentiasa merujuk kepada nasihat Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata, kuasa yang ada pada SPR di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 untuk menangguhkan proses pengundian hanya merujuk kepada kuasa di pusat mengundi.

Bagaimanapun, kata beliau, jika berlaku seluruh kawasan Parlimen atau DUN yang terganggu terpaksa dibatalkan atau ditangguh, maka tentunya memerlukan pengisytiharan darurat.

“Pernah berlaku sebelum ini, PRN Sarawak ditangguhkan kerana pandemik Covid-19, melalui pengisytiharan darurat bagi Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Tetapi kalau ada proses pengundian terganggu (atas sebab-sebab yang tak dijangka), biasanya di peringkat pusat mengundi sahaja, (maka ia hanya kuasa SPR),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN