Ketua UMNO Beruas enggan jadi calon

Ketua UMNO Beruas enggan jadi calon

AZHAR Ahmad (depan, tengah) pada sidang akhbar di pejabat UMNO Bahagian Beruas di Beruas hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad mengumumkan keputusannya menolak sebarang pencalonan dirinya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Azhar menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memecah tradisi sebelum ini yang lazimnya meletakkan ketua bahagian di sesuatu kawasan sebagai calon PRU sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita mahu menjadikan UMNO sebagai parti yang ‘cantik’, sedia berkorban untuk rakyat, bukannya tempat untuk merebut jawatan, sekali gus memudahkan pucuk kepimpinan tertinggi membuat keputusan pemilihan calon.

“Saya harap ada ketua bahagian lain yang ambil tindakan sama kerana perjuangan kita dalam parti bukan kerana mahukan jawatan semata-mata, sebaliknya sedia memberi peluang kepada pemimpin lain dalam bahagian menjadi calon, dan tidaklah nanti orang bercakap semua jawatan (ketua bahagian) hendak ‘sapu’,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini,  kebiasaannya Ketua UMNO Bahagian Beruas menjadi calon untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Baru dalam Parlimen Beruas.

Pada PRU-14, DUN Pengkalan Baru dimenangi oleh Datuk Abdul Manaf Hashim yang ketika itu menjadi Ketua UMNO Bahagian Beruas.

Azhar kemudian mengambil alih kepimpinan UMNO bahagian tersebut dalam pemilihan parti beberapa bulan selepas pilihan raya tersebut.

Setakat Mac lalu, pengundi di DUN Pengkalan Baru yang didaftarkan ialah seramai 22,663 orang dengan 69.5 peratus adalah pengundi Melayu diikuti Cina (19.9 peratus), India (10.2 peratus) dan selebihnya adalah kaum-kaum lain.

Beliau yang ketika ini menyandang jawatan Senator Dewan Negara menjelaskan, keputusannya itu sudah dimaklumkan kepada pucuk kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat beberapa bulan lalu dan ia bukan dipaksa oleh mana-mana pihak.

“Justeru, saya berharap calon DUN Pengkalan Baru boleh dipilih daripada dua nama yang dimajukan kepada pucuk pimpinan iaitu Timbalan Ketua Bahagian, Azman Noh atau Naib Ketua, Abdul Razak Ismail,” ujarnya.

Sebaliknya, menurut Azhar, jika pucuk kepimpinan parti mahu meletakkan calon lain atau luar, beliau berharap mereka dapat berbincang dan mendapatkan pandangan daripada kepimpinan bahagian itu terlebih dulu.

Ditanya jika pucuk kepimpinan tetap mahu beliau menjadi calon, Azhar berkata: “Jika itu keputusan mereka, saya terpaksa akur sebab itu bukan kehendak saya, ia kehendak organisasi.” -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya