Kes terowong dasar laut: Gobind fail permohonan hina mahkamah  - Utusan Malaysia

Kes terowong dasar laut: Gobind fail permohonan hina mahkamah 

LIM Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung empat pertuduhan membabitkan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung kes projek terowong dasar laut memfailkan permohonan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap pihak pendakwaan kerana didakwa melanggar perintah mahkamah pada 29 September lalu.

Peguam bela, Gobind Singh Deo berkata, pihak pendakwaan gagal mematuhi perintah mahkamah yang mengarahkan supaya saksi pendakwaan ke-8, Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof untuk mengemukakan laporan forensik perbualan aplikasi Whatsapp lengkap antara dua saksi pendakwaan lain tentang kes Guan Eng.

Dua saksi berkenaan ialah ahli perniagaan, G. Gnanaraja dan Datuk Zarul Ahmad Mohd. yang mana terdapat laporan forensik perbualan mereka lebih lengkap bagi kes jenayah lain di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat menjelaskan, pihaknya tidak dapat menyerahkan laporan forensik disediakan pegawai penyiasat lain dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan Gnanaraja dan Zarul Ahmad kerana telah ditutup atau tiada tindakan lanjut (NFA).

Beliau juga tidak pasti sama ada laporan itu wujud atau tidak selain tidak terlibat dengan kes saksi pendakwaan berkenaan di Mahkamah Shah Alam.

Semasa pemeriksaan balas terhadap Wan Mohd. Firdaus hari ini, Pegawai Penyiasat Bahagian Forensik Teknologi SPRM itu tidak dapat menyerahkan laporan forensik itu kerana nombor rujukan laporan forensik tersebut tidak lengkap walaupun telah meminta daripada pegawai penyiasat lain.

Gobind: Saya telah beri butiran beserta nombor laporan bertarikh 5 Disember 2019. Anda masih ingat?

Wan Mohd. Firdaus: Nombor laporan tersebut tidak lengkap.

Gobind: Anda sudah menunggu satu bulan, tetapi hanya duduk diam di pejabat dan tidak berbuat apa-apa? Tidak ambil tindakan mendapatkan maklumat lanjut mencari laporan ini?

Wan Mohd. Firdaus: Tidak benar, saya ada berkomunikasi dengan pihak pendakwaan kira-kira awal minggu ini atau hujung minggu lalu.

Gobind: Dua tiga hari sebelum bicara (hari ini)? Apa yang kamu beritahu?

Wan Mohd. Firdaus: Saya beritahu yang saya tidak dapat mencari nombor rujukan siapa pemeriksa laporan sebelum saya kerana nombor itu tidak lengkap.

Gobind: Kenapa tidak buat sebelum itu? Anda ada masa satu bulan. Kenapa duduk diam sahaja?

Wan Mohd. Firdaus: Tidak benar.

Perbicaraan hari ini didengar di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah hari ini memanggil semula Wan Mohd. Firdaus bagi memberi keterangan dan menyerahkan laporan forensik lengkap kerana laporan disediakannya sebelum ini terhad kepada suatu jangka masa sahaja.

Pada 29 September lalu, Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan Wan Mohd. Firdaus menyerahkan laporan forensik perbualan aplikasi WhatsApp antara antara Gnanaraja dan Zarul Ahmad kerana laporan perbualan dua saksi berkenaan bagi kes di Shah Alam lebih lengkap.

Gnanaraja didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 3 April 2019 atas tiga pertuduhan menipu seorang lagi saksi pendakwaan, Zarul Ahmad sebanyak RM19 juta.

Beliau didakwa memperdaya Zarul Ahmad untuk mempercayai bahawa Gnanaraja boleh membantunya menutup siasatan SPRM terhadapnya, namun, status bagi kes berkenaan tidak diketahui.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya