Kerusi rebutan parti komponen

Kerusi rebutan parti komponen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dalam 222 kerusi Parlimen, terdapat kerusi yang menjadi rebutan antara parti khususnya parti-parti dalam komponen gabungan masing-masing.

Ini termasuk kerusi yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kerana parti yang tewas di kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya sebelum ini masih lagi mahu bertanding di kerusi sama.

Ia menimbulkan rasa kurang senang kepada komponen parti yang merasakan kerusi itu boleh dimenangi jika mereka bertanding di kerusi tersebut.

ALOR SETAR (MCA-UMNO)

Parlimen Alor Setar sudah disandang oleh MCA dan menjadi kerusi tradisinya sejak 1955 namun calon parti itu tewas dua kali berturut-turut ketika mewakili Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 dan PRU14 kepada Pakatan Harapan (PH).

Ini menyebabkan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail meminta pucuk pimpinan parti mempertimbang semula menyerahkan kerusi itu kepada MCA.

Katanya, calon UMNO mampu untuk memberi tentangan kepada PH pada PRU15, namun jika MCA meletakkan calon sekali lagi, mereka akan kehilangan undi Melayu.

TASEK GELUGOR (Pas-Bersatu)

Kerusi Tasek Gelugor sudah ditandingi oleh Pas sejak 1986 namun kerusi itu kini disandang oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Penyandang kerusi itu, Datuk Shabudin Yahaya menang ketika mewakili BN pada PRU14 sebelum beliau menyertai Bersatu pada 2019.

Namun, disebabkan Shabudin membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRU15, berlaku perebutan kerusi antara kedua-dua parti ini memandangkan Bersatu juga bertanding di kerusi itu pada PRU14 menerusi calon Datuk Marzuki Yahya namun tewas kepada Shabudin.

BUKIT GANTANG (Pas-Bersatu)

Kerusi Bukit Gantang merupakan kerusi tradisi Pas sejak 1986, yang terbaru ditandingi oleh Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad.

Namun, kerusi itu kini disandang oleh Bersatu menerusi Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang memenangi kerusi itu ketika mewakili BN pada PRU14 sebelum menyertai Bersatu pada 2020.

Syed Abu Hussin menegaskan, beliau tetap akan bertanding di kerusi itu meskipun sebagai calon Bebas, walaupun Idris juga masih berminat untuk bertanding di kerusi tersebut.

TANJONG MALIM (MCA-UMNO)

UMNO menuntut kerusi Tanjong Malim sejak Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon tewas kepada calon PH, Chang Lih Kang dalam PRU14 dengan majoriti 5,358.

Walaupun kerusi itu merupakan kerusi tradisi MCA, Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim, Khusairi Talib berkata, konflik melobi calon antara Mah Hang Soon dan Ong Ka Chuan ketika itu menyumbang kepada kekalahan BN.

Justeru, mereka mahu meletakkan calon Melayu kerana yakin akan dapat memenangi kerusi itu berbanding MCA.

TITIWANGSA (Muda-Amanah)

Parti Amanah mahu bertanding di kerusi Titiwangsa sejak PRU14 dan sudah mempunyai calon ketika itu iaitu Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli, namun kerusi itu diserahkan kepada calon Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Dalam PRU15, Amanah berpeluang untuk bertanding di kerusi tersebut selepas Bersatu keluar daripada PH.

Namun, parti itu sekali lagi terpaksa berebut kerusi itu, kali ini dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sudah mempunyai calon iaitu Siti Rahayu Baharin, 41 tahun.

ALOR GAJAH (MCA-UMNO)

Kerusi Alor Gajah merupakan kerusi tradisi UMNO sejak Tun Abdul Ghafar Baba bertanding pada 1974 sebelum memberi laluan kepada MCA sejak 2004.

Namun, sejak calon MCA, Wong Nai Chee tewas kepada calon Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dengan majoriti 6,980, UMNO mahu kembali bertanding di kerusi tersebut.

Ini berdasarkan desas-desus beberapa nama calon antaranya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

TANJUNG PIAI (MCA-UMNO)

Walaupun kerusi Parlimen Tanjung Piai merupakan kerusi tradisi MCA sejak 2004, UMNO menuntut MCA supaya menyerahkan kerusi Parlimen kawasan itu untuk PRU15.

Alasannya, kerusi itu perlu digilirkan berdasarkan perjanjian sebelum ini, malah Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan telah menghantar petisyen kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kerusi itu sebagai pertukaran kepada UMNO yang telah menyerahkan kerusi DUN Pekan Nanas kepada MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

Malah, katanya, peratusan pengundi Melayu di Tanjung Piai kini sudah hampir 58 peratus berbanding 41 peratus pengundi Cina.

CAMERON HIGHLANDS (MIC-UMNO)

Tanah tinggi ini merupakan kawasan tradisi MIC sejak 2004 setelah persempadanan semula kawasan pilihan raya sekali gus menyaksikan kewujudan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel merupakan antara tiga ahli Parlimen mewakili MIC sebelum kerusi itu bertukar kepada UMNO menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2019 berikutan Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan oleh Datuk C. Sivarraajh pada PRU14 terbatal.

Namun pertukaran itu dikatakan ‘pinjaman sementara’ kepada UMNO demi mengekalkan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) setelah melihat kekuatan parti tersebut agar ia tidak dirampas oleh calon Pakatan Harapan.

Namun Ahmad Zahid berkata, ada beberapa kerusi yang diperuntukkan kepada parti komponen BN khususnya MIC akan diganti dengan kerusi lain termasuk Parlimen Cameron Highlands.

“Soal calon pula saya nyatakan dari segi konsensus parti komponen sudah diperuntukkan. Kita sudah ada pemahaman di mana pengekalan kerusi tradisi menjadi amalan. Kita mempunyai pendekatan bagi menentukan agihan kerusi,” katanya baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN