KOTA BHARU: Pas menyifatkan hasrat Gabungan Tanah Air (GTA) untuk Pakatan Harapan (PH) bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini dilihat mencetuskan sebarang impak kepada Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak berminat untuk mencampuri urusan tersebut kerana ia melibatkan parti diluar PN.
“GTA atau PH bukan berada dalam kerjasama PN. Bagi Pas semua itu terpulang kepada parti masing-masing.
“Kami tidak mahu mencampuri perkara tersebut,” katanya ketika diminta mengulas kerjasama GTA dengan PH selepas mengadakan kunjungan ke atas bekas lagenda bola sepak negara Mohd. Hashim Mustapa yang terpaksa memotong kaki kirinya akibat jangkitan kuman di sini semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan hasrat Pengerusi GTA Tun Dr. Mahathir Mohamed untuk bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menjalinkan kerjasama semula dengan PH.
“Saya bersedia bertemu dengan Anwar kerana saya percaya dia juga berfikiran macam saya.
“Kalau saya perlu memulakan langkah, saya akan lakukan. Orang nak kata saya tidak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya,” kata Dr. Mahathir.
Menerusi pautan sebuah video di laman sosial, bekas Perdana Menteri itu menekankan supaya parti-parti pembangkang bersatu bagi mengalahkan Barisan Nasional (BN). – UTUSAN










