KUALA LUMPUR: Penyanyi, Auddra Zulkifli, mengakui keputusan untuk mengikuti pembelajaran di rumah atau homeschooling pada peringkat awal tidak mendapat persetujuan ibunya yang juga penyampai radio, Sharifah Shahira.
Bagaimanapun, selepas berbincang, keputusan itu akhirnya direstui orang tua dengan syarat Auddra membuktikan kemampuan untuk lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki sekitar November ini.
“Mereka pada awalnya memang tidak bersetuju. Namun, disebabkan saya berkeras, mereka akhirnya membenarkan saya mengikuti homeschooling, tetapi dengan syarat saya perlu belajar bersungguh-sungguh.
“Mereka mahu saya lulus dengan cemerlang. Tidak kisahlah sama ada memperoleh semua A atau sekurang-kurangnya empat atau dua A, asalkan keputusan saya lulus.
“Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik dan melebihi apa yang mereka jangkakan,” katanya.
Auddra berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Kisah Bawah Tanah di REXKL, hari ini.
Dalam pada itu, Auddra berkata, ibunya tetap tegas dalam memastikan proses pembelajaran berjalan dengan serius walaupun dia tidak lagi berada di sekolah.
“Mama lebih tegas. Dia akan suruh saya bangun dan turun ke bawah untuk belajar. Tidak kira sama ada cikgu datang atau tidak, jika tiada kelas, saya tetap perlu membaca buku.
“Kalau saya terlalu seronok atau leka dengan aktiviti lain, memang saya tidak akan buka buku. Jadi, tidak adalah masa untuk terlalu berseronok,” katanya.
Bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan SPM, Auddra memaklumkan akan berehat daripada semua aktiviti seni selepas selesai peperiksaan percubaan.
“Selepas melancarkan single baharu, saya tidak akan menerima sebarang tawaran kerja kerana mahu fokus kepada SPM. Saya perlu menyelesaikan peperiksaan itu terlebih dahulu sebelum kembali aktif bekerja.
“Saya akan mengambil enam subjek dan menduduki peperiksaan di sekolah lama saya, iaitu SMK Taman Melawati.
“Dulu Elizabeth Tan pun belajar di situ. Sekarang sekolah itu sudah digelar ‘sekolah artis’. Siapa yang belajar di situ nanti semuanya jadi artis,” katanya berseloroh.
Terdahulu, Sharifah Shahira mengesahkan anaknya tidak lagi mengikuti persekolahan secara formal, sebaliknya memilih pembelajaran di rumah memandangkan minat Auddra lebih cenderung kepada bidang hiburan berbanding akademik sejak kecil. -UTUSAN










