China sekat ahli parlimen New Zealand ke Taiwan - Utusan Malaysia

China sekat ahli parlimen New Zealand ke Taiwan

Naib Presiden Taiwan, Hsiao Bi-khim (tengah) bergambar bersama Laura McClure (kiri), Maureen Pugh (dua dari kiri), Duncan Webb (tiga dari kanan) dan David Wilson (dua dari kanan) di Pejabat Presiden di Taipei pada 7 Mei lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: China melarang sekumpulan ahli parlimen New Zealand daripada memasuki negara itu ekoran lawatan mereka ke Taiwan Mei lalu, lapor Wellington dan menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan berkenaan.

Empat ahli parlimen terbabit terdiri daripada pelbagai latar politik dan melakukan lawatan ke pulau itu sebagai sebahagian daripada delegasi rentas parti.

Namun, New Zealand menyatakan wakil rakyatnya sudah berkunjung ke Taiwan sejak beberapa dekad lalu.

Pejabat Menteri Luar New Zealand mengesahkan larangan itu.

Bagaimanapun, Menteri Luar New Zealand, Winston Peter memaklumkan beliau mengarahkan diplomat-diplomat itu menyuarakan kebimbangan terhadap perubahan terhadap amalan terdahulu dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya.

China mendakwa Taiwan yang ditadbir sendiri sebagai sebahagian wilayahnya dan menentang penyertaan pulau demokrasi itu dalam organisasi antarabangsa serta hubungan dengan negara lain.

Pejabat Peter berkata, lawatan Laura McClure, Maureen Pugh, Duncan Webb dan David Wilson tidak bercanggah dengan dasar ‘Satu China’ New Zealand, yang mengiktiraf tuntutan Beijing ke atas Taiwan.

“Ahli Parlimen New Zealand bebas membuat keputusan sendiri secara individu, bebas daripada kerajaan, mengenai bagaimana mereka bertindak balas terhadap jemputan lawatan ke luar negara.

“Walaupun Wellington tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, keadaan tersebut tidak menghalang New Zealand daripada mengekalkan hubungan perdagangan, ekonomi, kebudayaan dan pertukaran masyarakat pribumi.

“Kami berhasrat meneruskan pertukaran ini kerana ia memberi manfaat kepada rakyat New Zealand dan sepenuhnya selaras dengan dasar Satu China kami,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN