KUALA LUMPUR: Kerajaan masih sah walaupun 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya tidak memperkenankan pembubaran Parlimen dibuat dalam waktu terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan hanya jatuh sekiranya terdapat mana-mana ahli Parlimen menarik sokongan seperti mana berlaku yang membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan sokongan datang daripada ahli-ahli Dewan Rakyat dan apabila mereka menarik dan kurang daripada 112 sokongan atau majoriti mudah, maka kerajaan akan tumbang.
“Ini kena faham. Ramai tidak faham Perlembagaan bercakap, apabila tidak faham bercakap sebab itu ramai jadi keliru. Tetapi sokongan Dewan Rakyat masih tiada perubahan, jadi tiada isu kata kerajaan tumbang.
“Menteri tiada kuorum, jika mereka tarik diri atau letak jawatan sekali pun, Kabinet dan kerajaan tetap berfungsi,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.
Tindakan 12 menteri PN terdiri dalam kalangan wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mengutus surat kepada Agong baru-baru ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan pada hari ini masih sah kerana tindakan itu seolah-olah menarik sokongan kepada Perdana Menteri.
Menurut Ismail Sabri lagi, sekiranya terdapat menteri meletakkan jawatan, maka pelantikan baharu akan dibuat, sebaliknya perkara itu tidak berlaku.
“Mereka cuma hantar surat kepada Agong agar Parlimen tidak dibubarkan. Kuasa bubar Parlimen adalah di bawah Agong. Jadi tiada kesan keabsahan kerajaan kerana ahli Parlimen masih menyokong kerajaan,” katanya.
Mengulas spekulasi pembubaran Parlimen, Ismail Sabri berkata, perkara itu tetap masih spekulasi sehingga ada pengumuman rasmi.
“Saya dah kata, kita tunggu dahulu. Saya dah kata untuk pembubaran tunggu dulu pengumuman,” katanya.
Ismail Sabri juga mengulas sama ada Bajet 2023 akan dibahas sebelum Parlimen dibubarkan, beliau berkata: “Seperti saya cakap tadi, tunggu dulu.” – UTUSAN










