Keputusan representasi kes dadah Yasin 3 November

Keputusan representasi kes dadah Yasin 3 November

YASIN Sulaiman ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini. - FOTO/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 3 November ini bagi keputusan representasi tiga pertuduhan dadah terhadap penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha mencadangkan tarikh 4 November namun peguam bela, Ariff Azami Hussein mohon supaya mahkamah menetapkan tarikh 3 November kerana lebih sesuai bagi pihak pembelaan.

Hakim Jamaludin Mat kemudian menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh tersebut.

Semasa prosiding, Vitiya Monisha mengesahkan pihak pendakwaan telah menerima representasi daripada pihak pembelaan.

“Kami ada menerimanya namun representasi yang dikemukakan masih dalam pertimbangan. Justeru, pihak pendakwaan memohon satu tarikh lain bagi keputusan representasi,” katanya. 

Ariff Azami kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menghantar representasi pada 26 September lalu.

Menurut peguam itu, representasi yang dikemukakan adalah bagi mengkaji pertuduhan-pertuduhan yang dipertuduhkan terhadap anak guamnya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, seorang lagi peguam bela, Yusmadi Yusof berkata, pihak penjara menjaga Yasin dengan baik namun tidak menyangkal keperluan Yasin untuk mendapatkan rawatan di pusat kesihatan di luar. 

“Setakat ini saya lihat anak guam dalam keadaan baik namun saya masih berpendapat dia lebih sesuai untuk dapatkan rawatan di luar,” katanya. 

Selain itu, Yusmadi turut berkata, Yasin ada menyampaikan salam kepada semua yang menyokongnya selain mengharapkan doa semua pihak bagi kelancaran kes tersebut. 

Pada 22 Ogos lalu, mahkamah sama menetapkan selama 15 hari bermula Mac tahun depan bagi perbicaraan tiga pertuduhan dadah yang dihadapi Yasin.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac yang mana seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Pada 6 Julai lalu, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram.

Ia apabila pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin  dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Bagi kesalahan itu, Yasin yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN