JERAI: Langkah Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon DAP di Parlimen Jerai tidak sepatutnya dijadikan isu memandangkan keputusan dibuat berdasarkan rundingan antara rakan komponen dan diputuskan Majlis Presiden gabungan itu.
Ini susulan dakwaan bahawa terdapat sebahagian pimpinan utama Parti Amanah Negara (Amanah) di negeri ini tidak berpuas hati dengan pemberian kerusi Parlimen Jerai kepada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pihaknya tidak sedar berlaku sebarang tindakan memboikot semasa pengisytiharan calon PH Kedah di Bandar Laguna Merbok semalam dan majlis tersebut berjalan lancar.
Katanya, semasa proses rundingan pembahagian kerusi, DAP bersetuju menyerahkan kerusi Alor Gajah kepada Amanah manakala kerusi Jerai diserahkan kepada mereka.
“Perkara ini telah dipersetujui dengan keputusannya dibuat berdasarkan satu keadaan di mana kita ada semangat rundingan.
“Sekiranya terdapat sebarang isu berhubung keputusan ini membabitkan parti Amanah, itu adalah masalah dalaman parti mereka,” katanya selepas melancarkan Pusat Operasi Pilihan Raya PH Parlimen Jerai di Guar Chempedak hari ini.
Parlimen Jerai memecah tradisi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila PH bakal mempertaruh calon daripada DAP untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu buat pertama kali.
Calon tersebut merupakan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff. – UTUSAN