PARIT BUNTAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim disebut-sebut bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun keputusan akhir diumumkan semasa Konvensyen PH di Ipoh, dekat sini hujung bulan ini.
Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, pencalonan dan ketokohan Presiden PKR itu memberi nilai tambah kepada PH di negeri ini.
“Kita dimaklumkan begitu dan selaku Pengerusi PH Perak, saya sangat mengalu -alukan untuk beliau bertanding di kerusi itu pada PRU15. Pencalonannya bertanding di kerusi itu memberi penghormatan besar kepada kami di Perak dan ketokohannya itu menguntungkan PH Perak,” katanya selepas Himpunan Harapan Perak Bangkit di Tapak Pasar Malam Pekan Tanjung Piandang, di sini semalam.
Yang hadir sama Anwar Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.
Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah berkata, setakat ini Anwar belum memberi jawapan dan perkara itu diputuskan pada Konvensyen PH di Ipoh pada 29 Oktober ini.
“Ada lima agenda besar yang diputuskan dalam Konvensyen itu yang kita umumkan nanti. Antaranya calon Perdana Menteri kita telah namakan Datuk Seri Anwar, pengumuman pengagihan kerusi di seluruh negara, mengisytiharkan lagu tema dan lambang maskot untuk PRU15,” katanya.
Menurutnya, sama ada Anwar bertanding di Parlimen Tambun atau tidak, perkara itu diumumkan pada konvensyen tersebut.
Sementara itu, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar mendakwa dicalonkan untuk mempertahan kerusi parlimen itu pada PRU15.
“Insya-Allah, yang saya tahu hingga pukul 11.49 malam ini (semalam), begitulah adanya. Walaupun perkara ini kuasa di peringkat parti masing-masing yang akan menentukan tempat mana yang kita bertanding,” katanya. – UTUSAN