NEW JERSEY: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan aktivis dan graduan Universiti Columbia, Mahmoud Khalil, dibebaskan dengan ikat jamin selepas lebih tiga bulan ditahan.
Penahanan Mahmoud, 30, oleh Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) di New York pada 8 Mac lalu mencetuskan kontroversi, menjadikannya simbol tindakan keras pentadbiran Donald Trump terhadap universiti serta pelajar asing.
Beliau antara yang lantang dalam protes pro-Palestin di Universiti Columbia tahun lalu, dan penahanannya mencetuskan gelombang demonstrasi di New York serta Washington DC.
Hakim Daerah AS, Michael Farbiarz, memutuskan Khalil tidak menimbulkan risiko melarikan diri atau ancaman kepada masyarakat, serta boleh dibebaskan sementara prosiding imigresen berlangsung, lapor CBS News.
Setakat ini, kerajaan tidak mendakwa Mahmoud terhadap sebarang jenayah khusus, namun beliau ditahan oleh ICE atas dua pertuduhan.
Setiausaha Negara, Marco Rubio, menggunakan peruntukan jarang guna dalam Akta Imigresen dan Kewarganegaraan untuk mendakwa kehadiran Mahmoud di AS boleh menimbulkan kesan buruk yang serius terhadap dasar luar negara.
Namun, Hakim Farbiarz minggu lalu memutuskan justifikasi Rubio untuk menahan Mahmoud mungkin bertentangan Perlembagaan dan menyatakan kerajaan AS tidak boleh menahan atau menghantar pulang beliau yang merupakan pemastautin tetap sah atas alasan tersebut.
Susulan itu, peguam kerajaan menyatakan Mahmoud kini ditahan atas sebab lain, iaitu kegagalan mendedahkan maklumat semasa memohon status pemastautin tetap yang sah pada 2024
Peguam Mahmoud pula berhujah, kerajaan melanggar hak kebebasan bersuara anak guamnya dan memohon mahkamah persekutuan New Jersey membebaskan beliau dengan jaminan atau memindahkannya ke pusat tahanan lebih dekat dengan keluarga.
Sepanjang prosiding hampir dua jam pada Jumaat, Hakim Farbiarz menunjukkan keraguan terhadap hujah pihak kerajaan yang mahu mengekalkan penahanan Mahmoud sementara kesnya diteruskan.– BBC










